Thursday, September 25, 2025

KEMBARA TERAKHIR(2)

Bab 2: Menoleh ke Belakang, Melihat ke Hadapan


Aku membuka album lama yang sudah berhabuk di rak buku. Setiap helaian membawa aku ke lorong-lorong masa; senyuman masa kecil, wajah ayah dan ibu, kisah perjuangan muda. Ada gembira, ada luka. Ada tawa, ada air mata. Semua itu menyedarkan aku betapa perjalanan ini bukan bermula di sini — ia panjang, penuh warna, penuh hikmah.

Dalam renungan itu, aku seakan-akan mendengar suara hatiku:

“Semua yang pernah kau genggam hanyalah pinjaman. Semua yang pernah kau rasa hanyalah persinggahan.”

Aku melihat kembali detik-detik kegagalan dan kejayaan. Aku pernah mendaki tinggi — dan aku juga pernah jatuh tersungkur. Aku pernah memberi dan menerima kasih, dan aku pernah pula kehilangan. Semua itu mendidik aku supaya tidak terpaut terlalu lama pada dunia; ia akan berakhir jua.


مَا عِندَكُمۡ يَنفَدُۖ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ بَاقٍۗ وَلَنَجۡزِيَنَّ ٱلَّذِينَ صَبَرُوٓاْ أَجۡرَهُم بِأَحۡسَنِ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ


Apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.

( Surah An-Nahl :96)




Di sebalik nostalgia itu, muncul rasa syukur. Setiap ujian mengajar aku sabar, setiap nikmat mengajar aku syukur. Jika bukan kerana jatuh, aku tidak akan belajar bangkit; jika bukan kerana hilang, aku tidak akan belajar melepaskan.

Kini aku berdiri di persimpangan usia senja, menoleh ke belakang hanya untuk mengambil pengajaran. Mataku beralih ke hadapan — pada hari-hari yang berbaki. Aku mula bertanya: Apa yang ingin aku tinggalkan? Apa warisan terbaik untuk anak-anak cucu, untuk masyarakat, untuk diriku di akhirat nanti?

Satu jawapan timbul: PERSEDIAAN. 


Persediaan yang bukan hanya pada pakaian dan harta, tetapi pada hati, pada jiwa. Aku ingin pulang dengan jiwa yang ringan, bukan berat. Aku ingin bertemu-Nya dengan wajah yang mengenal Dia, bukan wajah yang asing.

Aku menutup album lama itu perlahan, seolah-olah menutup satu bab besar dalam hidup. Namun aku tahu, penutup itu bukan titik noktah — ia hanyalah tanda noktah koma sebelum satu ayat baru. Langkahku selepas ini perlu lebih sedar, lebih lapang, dan lebih penuh kasih.


“Menoleh ke belakang bukan untuk terperangkap, tetapi untuk memahami arah hadapan.”

Dengan kesedaran itu aku melangkah lagi — menuju kembara seterusnya, menuju bekal yang lebih sempurna, menuju pertemuan yang abadi.




KEMBARA TERAKHIR


1: Pilihan Utama Menuju Usia Senja 

Tahukah, sedarkah, membumikah, bahawa selama ini kita hidup dengan apa yang bukan milik kita? 

Kita hidup kerana pinjaman roh usia ini. Menjangkau usia senja ini, adakah benar² kita bersedia  bahawa -

"Sudah tiba masanya semua yang ada pada kita, pada jasad ini dipulangkan. Bukan dengan paksaan tapi dengan kasih". Supaya kita benar-benar kenal bahawa 'aku' itu tidak pernah ada. Hanya DIA yang kekal selama-lamanya.


Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati..." 


كُلُّ نَفۡسٍ ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَۗ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَٰعُ ٱلۡغُرُورِ


Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

(Surah Ali 'Imran :185). 




Hadis Nabi Muhammad SAW:"Orang yang paling banyak mengingat mati dan paling baik persiapannya untuk kehidupan setelah mati. Mereka itulah orang-orang yang cerdas" (HR Ibnu Majah). 


Pesan utama dari ungkapan ini adalah untuk kita mengingatkan diri bahawa hidup di dunia ini sementara dan kematian adalah pasti. Oleh itu, kita perlu bersabar dalam kesukaran, bersyukur dalam nikmat, dan sentiasa bersedia untuk kembali kepada Allah dengan melakukan amal soleh. 


Pilihan Utama Menuju Usia Senja


Petang itu langit berwarna jingga tembaga, seolah-olah mengirimkan isyarat bahawa sebuah perjalanan akan sentiasa bermula. Angin senja menyapa lembut, membawa aroma dedaunan yang gugur — sama seperti masa yang gugur satu demi satu dari genggaman kita. Aku berdiri di beranda rumah kecil ini, memandang jauh ke ufuk barat. Betapa cepat masa berlalu; anak-anak sudah dewasa, rambut sudah memutih, tenaga tidak lagi sekuat dahulu. Namun, hati terasa lapang, kerana aku sedar inilah hakikat hidup: semuanya akan kembali.


Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, setiap detik menjadi lebih berharga. Aku mula menyusun semula kehidupan; tidak lagi mengejar apa yang fana, sebaliknya merapikan bekalan untuk yang kekal. Buku nota di tangan menjadi saksi: catatan-catatan kecil tentang pengajaran hidup, titipan doa, dan rasa syukur yang bertambah. Dalam diam aku berkata pada diri sendiri, “Ini kembara terakhirku. Biar ia penuh makna.”


Aku terkenang kata seorang guru:


 “Usia senja itu bukan penamat, tetapi pintu gerbang menuju pertemuan sebenar. Kembara terakhir bukan sekadar menunggu mati, tetapi melengkapkan diri untuk hidup yang hakiki.”


Sejak itu, setiap langkah kuhayati sebagai perjalanan pulang. Aku mula melihat alam dengan pandangan yang berbeza; burung yang terbang bukan sekadar burung, tetapi tanda kebebasan jiwa; hujan yang turun bukan sekadar hujan, tetapi rahmat yang membersihkan dosa. Semua ini mengajar aku tentang penyerahan total kepada Pemilik Sejati.


وَأُفَوِّضُ أَمۡرِىٓ إِلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَصِيرٌۢ بِٱلۡعِبَادِ


….dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya".

(Surah Ghafir :44)




Dengan jiwa yang semakin tenang, aku memutuskan untuk sentiasa istiqomah memperbaiki, menambah kembara spritual mencari redho Allah di samping menyambung semula safar imaniyah ( beruzlah & menyendiri dalam perjalanan fizikal )— mengunjungi tempat-tempat yang pernah dekat di hati, menziarahi mereka yang pernah berjasa, memohon maaf pada mereka yang pernah aku sakiti. Perjalanan ini menjadi simbolik kepada perjalanan rohaniku; dari milik diri yang palsu menuju kepada hakikat yang abadi.


Wednesday, September 24, 2025

SAFAR IMANIYAH

 Sepanjang perjalanan ini, terlalu banyak air mata telah dan akan ditumpahkan. Ada Allah bersamaku, memberi kekuatan dan ketabahan…Ada sahabat seakidah yang memberi motivasi dan kesedaran serta peringatan ..

Ketika bersendirian dan menghadapi penuh ujian & cubaan, ketika itulah terikatnya kebergantungan, ia resepi kuat untuk membawa kita lebih mendekati Tuhan.

Sebab itu uzlah dan khalwah adalah ubat jiwa yang cukup berkesan.

Ya Allah kau siapkanlah ramuan terbaik untuk kami - jangan terlalu keras sehingga patah dan mengalah, dan jangan terlalu lembut sehingga ghairah dan melatah.

Doakan daku sahabat-sahabat semua, Aku terus kan perjalanan untuk mencari Rahmat dan Redho Nya…

Fii amanillah





Alhamdulillah Syukur

 Kehidupan di penghujung usia sangatlah bermakna yang mana tidak semua orang berkesempatan untuk menikmati tempoh tersebut.

Ya Allah rezekikan sisa-sisa hidupku ini, untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Mu. Ampunkanlah segala dosaku. Penyudahkanlah hidupku dengan husnul khotimah. dengan Firdaus Jannah destinasiku..


Friday, March 6, 2015

TRAVELOG 2 ...MENELUSURI NOSTALGIA KEGEMILANGAN ISLAM DI SPAIN/MAGHRIBI

Di Kota Marrakech, selepas 2 jam perjalanan ke selatan dari Casablanca, dengan bantuan pemandu pelancong, kami dapat mengenali bangsa Morro di Morocco ini. Mereka begitu seni @ mahir dalam pertukangan dan ukiran terutama jubin, batu dan kayu. Marrakech dalam bahasa Barber bermaksud merah. Diperhatikan kota inilah yang boleh dibuat perbandingan @ kaitan dengan kota kembar Gibraltar, Al Hamra, Cordoba dan Toledo.Warna merah cat bangunan-bangunan sekitar Marrakech dilihat sama dgn warna bangunan di kota Al Hamra. Lawatan ke kilang memperoses jubin, kulit, tembok, jalan-jalan, seni bina rumah, kedai, istana dan masjid juga seolah-olah inilah yang dibawa bersama dalam pembangunan petempatan dan kota-kota di Gibraltar, Granada dan Cordoba serta Toledo. Satu kesan nostalgia hebat yang dibawa oleh para pendukung dan pejuang mengembangkan Islam khususnya di Andalusia/Spain terdahulu. Walaupun tersegam indah binaan masjid-masjid, istana-istana dikatakan lambang materialistik, namun kita dapat kaitkan dengan kekuatan aqidah dan jihad para pendakwah yang terdahulu. Peradaban bangsa Morros dan Arab selama lapan abad di Andalusia, sudah tentu meninggalkan tamaddun yang ditinggalkan di penempatan yang diterokai. Sekadar menangisi tenggelamnya peradaban ini, tanpa kita berperanan dan berusaha untuk mengembalikan semula kegemilangannya, adalah sia-sia. Masjid Koutoubia di Marrakech.

TRAVELOG 1 ...MENELUSURI NOSTALGIA KEGEMILANGAN ISLAM DI SPAIN/MAGHRIBI

Langkah destinasi awal kembara menuju Kota Putih (Casabalanca) ibu negara Marocco/Maghribi( Negara Matahari Terbenam) adalah tepat utk jejak kasih dan syukur kpd para pejuang serta para syuhada yang menegakkan cahaya Islam di Benua Eropah, khususnya di Andalusia/Spain. Pejuang dari benua Afrika spt Algeria, Morroco, Libya yang membawa misi menegakkan @ menyebarluaskan syariat Islam patut didoakan kesejahteraan & kebahgian mereka di dunia abadi. Kota- kota berwarna putih menghiasai hampir Al Dar al Baidho' (Casablanca) mungkin mengekalkan kesucian, kebersihan @ ketaqwaan para penduduknya yang dilabel sebagai tempat perlindungan para lanun @ perompak di Benua Afrika Utara oleh musuh-musuh Islam pada masa lampau.

Friday, September 21, 2012

Makan untuk HIDUP kelangsungan untuk beribadah kepada Allah AWT

 

Semoga sehat sejahtera kepada semua dan di beri kekuatan oleh Allah swt dalam menjalani kehidupan yang sementara ini, setelah melalui ibadah yang kita harapkan lebih baik sepanjang madrasah Ramadhan, berbanding dengan amalan pada ramadhan sebelumnya. Sambutan Edul Fitri selama sebulan pula pada bulan Syawal dihidangkan pula dengan juadah yang lazat istimewa. Tidak ketinggalan menghadiri jemputan kenduri kendara perkahwinan sanak saudara dan rakan taulan, yang tidak lari juga dengan hidangan makanan yang menyelerakan. Yang penting kita bersyukur masih diberi pinjam nyawa di jasad dan nikmat yang tidak terhitung banyaknya diberi oleh Allah SWT. Namun begitu, kehidupan yang mendatang perlu bersedia dengan kematian yang pasti pada bila-bila masa. Sehari akan dilalui, sehari pula umur kita bertambah pendek. Oleh itu marilah kita berlumba-lumba untuk menambah bekalan yang bermanfaat untuk diri bagi menghadapi kehidupan abadi di akhirat nanti. Setiap hari yang kita lalui pasti ada ujian yang di lalui baik dari segi fizikal mahupun mental dan yang penting kita selalu berharap kepada Allah swt supaya mempermudahkan segala urusan untuk melalui ranjau ataupun liku-liku kehidupan yang penuh getir ini.

Kita perlu membuka minda mengenai pemakanan setiap hari untuk meneruskan kehidupan. Mudah-mudahan kesehatan yang baik akan memberi kita kekuatan dalam menjalani ibadah kepada Allah swt . Terpulanglah pada diri masing-masing bagaimana harus kita memilih makanan kita setiap hari. Yang penting kita perlu mengambilnya dengan berilmu dan berhemah sesuai dengan keperluan tubuh badan kita. Nah begitu banyak pilihan makanan yang disajikan, kita perlu menyahlahapkan nafsu makan!!!.


Rasulullah s.a.w. bersabda :
Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara :
1.MUDA SEBELUM TUA
2.SIHAT SEBELUM SAKIT
3.KAYA SEBELUM MISKIN
4.LAPANG SEBELUM SIBUK
5.HIDUP SEBELUM MATI
Oleh itu, marilah kita selalu berwaspada dalam pemakanan kita sebelum sakit datang tak kira masa dan kematian tanpa diduga.

Rahsia besar Rasulullah s.a.w yang patut menjadi teladan ialah baginda tidak pernah mencela makanan yang tidak disukainya atau kurang enak. Ini terkandung di dalam hadis bermaksud:

“Anas berkata: Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Jika berselera dimakannya, dan jika tidak maka ditinggalkannya.”