Thursday, March 8, 2012

Lagenda Mahsuri di Kampung Kedah Langkawi


Rombongan Jaulah Langkawi kami juga mengambil kesempatan menjengah sebentar di Kota Mahsuri , Kampung Kedah.  Lawatan sekitar kota Mahsuri, mengimbau nostalgia indah keceriaan kehidupan semasa kecil di kampong permaiku yang indah. Lesung kaki, yang terdapat di bawah rumah tinggalan keluarga Mahsuri, kuambil kesempatan untuk menumbuknya. Teringat aktiviti menumbuk emping pada waktu petang dan malam secara beramai-ramai sambil bergurau senda , yang terkadang-terkadang  tersasau membuat gossip di bawah rumah warisan ibuku. Aku juga pernah menggunakan kemahiran kedua belah tangan menjalankan aktiviti serentak menggoreng padi di sebelah kanan dan menyudip emping padi dalam lubang lesung yang sedang ditumbuk kencang. Masya-Allah aktiviti melompat,  menumbuk kaki lesung berirama dengan hentaman antan ke dalam lubang lesung merupakan aktiviti riadah yang menyegarkan. Pergerakan mengoreng padi atas api yang panas sebelah tangan dengan sebelah tangan lagi menyudip padi emping yang sedang ditumbuk memerlukan keseimbangan kemahiran gerakan kedua belah tangan. Bayangkan jika tidak mahir menggunakan  sudip buluh yang membalik-balikkan padi dalam lubang lesung yang sedang ditumbuk, boleh melenting atau sudip itu sendiri yang tertumbuk dan seterusnya membahayakan diri. Begitu juga menyangan/menggoreng padi muda dalam kuali dengan gerakan yang tidak rata terutama bagi mereka yang tidak mahir menggoreng, boleh menyebabkan padi mentah atau hangus. Masya Allah, syukurnya aku membesar dalam kehidupan kecil dan remajaku yang penuh dengan aktiviti jasmani yang aktif di samping aktiviti sara hidup yang melonjakkan kemahiran minda berfikir secara optima dengan menggunakan seluruh pasangan anggota dan pancaindera kiri dan kanan  secara seimbang. Alhamdulillah, natijahnya  ia membesarkan kami dua belas orang adik beradik dengan tumbesar yang seimbang dari segi kognitif, psykomotor, emosi, intelek dan spiritual.

KEMBARA - syahdu KEHEBATAN ciptaan ILAHI

Banyak lagi catatan kembara di Klim Geoforest Langkawi yang hendak dicoretkan, untuk dikongsi dan yang paling penting untuk muhasabah diri. Begitu kerdil kita, dan tidak terbanding dengan anugerah ILAHI terhadap ciptaan NYA. ...Perbanyakkanlah ungkapan masya- Allah, Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar. Untuk pembaca budiman dan semua ummat Islam ...disarankan kita tukar ISTILAH perkataan "semulajadi".. Alam semulajadi, tumbuhan semula jadi dan lain-lain kepada ungkapan 'alam anugerah', tumbuhan anugerah dll. Ungkapan "semulajadi"  itu - adalah ungkapan yang menidakkan ciptaan Allah. Sesungguhnya apa yang ada di langit dan di bumi dan di antara keduanya, tidak berlaku secara tersendiri atau secara semulajadi....Beginilah ilmu sekular ...yang diterajui oleh manusia yang tidak mempercayai tuhan....disebarluaskan kepada umat yang tidak boleh berfikir!!! nauzubillah..

Pemandangan Anugerah dengan lautan, pulau-pulau, batu-batan, tumbuhan dan hidupan laut dan udara adalah merupakan ayat-ayat Allah yang perlu menyentuh kalbu tentang kewujudan dan keesaan ALLAH itu Maha Berkuasa dan Agong. Pelbagai jenis ikan sangkar yang dipelihara jika dikaji begitu unik dan tiada tandingan kejadiaannya. Begitu juga helang kawi yang terdapat di dua sempadan air masin dan tawar yang habitatnya di puncak kayu yang menjulang tinggi begitu mengagumkan kehidupan makhluk ciptaan Allah tersebut. Terasa malunya diri, kerana segala makhluk Allah yang bernyawa atau tidak di sekeliling kita sentiasa bertasbih kepada penciptanya.... kita manusia ni...sentiasa LUPA...untuk mensyukuri nikmat tak terhingga  yang Allah berikan kepada kita.

Friday, January 6, 2012

Kilim Karst di Geoforest Park, Langkawi

 Masya Allah –begitu damai,harmoni dan tenteram,menelusuri hijaun Hutan payabakau yang terletak di kawasan pembentukan jajaran batu kapur yang timbul dari Laut Andaman yang tenang ini.
Klim Karst merupakan lokasi habitat bagi ratusan spesis hidupan liar tempatan. Ia juga merupakan geopark pertama di Asia Tenggara. Para pengunjung boleh melihat formasi landskap karst (batu kapur) yang unik dan antara yang terindah di dunia, terbentuk daripada proses hakisan dan cuaca. Meninjau ke lokasi gua, membekas nostalgia kerja lapangan dalam subjek geomorfologi semasa belajar dulu. Membawa anak didik dalam lawatan lapangan, merupakan pendekatan kontekstual P @ P geografi fizikal berkaitan proses luluhawa kimia yang natijahnya memberi kefahaman yang realiti kepada anak didik. Pandang darat hasil timbunan  bahan luluhawa kimia akibat larutan air dan batu kapur mengwujudkan formasi juntaian tabir batu kapur “stalaktait’ di lelangit gua. Timbunan membukit/membusut di lantai gua, membentuk ‘stalagmait’ dan banyak bentuk-bentuk lain yang mengagumkan. Makhluk penghuni gua khususnya mamalia terbang -kelawar yang hidup sejahtera jika diteliti menunjukkkan begitu hebat dan unitnya kejadian yang diwujudkan oleh Maha Pencipta. Rugilah sesiapa insan yang masih kufur tentang adanya Allah, tuhan yang maha Esa yang menjadikan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya tanpa sia-sia. Tentang gua – dalam Al-Quran terdapat surah Al-Kahfi artinya Gua dan Ashhabul Kahfi yang artinya Penghuni-Penghuni Gua. Kedua nama ini diambil dari cerita yang terdapat dalam surat ini pada ayat 9 sampai dengan 26, tentang beberapa orang pemuda yang tidur dalam gua bertahun-tahun lamanya. Selain cerita tersebut, terdapat pula beberapa buah cerita dalam surat ini, yang kesemuanya mengandung i'tibar dan pelajaran-pelajaran yang amat berguna bagi kehidupan manusia.  
Surah ini mendasari pokok-pokok Keimanan tentang Kekuasaan Allah swt untuk memberi daya tahan hidup pada manusia di luar hukum kebiasaan: dasar-dasar tauhid serta keadilan Allah s.w.t. tidak berubah untuk selama-lamanya; kalimat-kalimat Allah (ilmu-Nya) amat luas sekali, meliputi segala sesuatu, sehingga manusia tidak mampu menulisnya.  Kepastian datangnya hari berbangkit;  Al Quran adalah kitab suci yang isinya bersih dari kekacauan dan kepalsuan.  Dari segi hukum, surah ini melarang membangun tempat ibadah di atas kubur; hukum  membaca "Insya Allah",dibolehkan merusak suatu barang untuk menghindarkan bahaya yang lebih besar. Beberapa pelajaran yang dapat diambil dari cerita-cerita dalam surat ini antara lain tentang kekuatan iman kepada Allah swt serta ibadah yang ikhlas kepadaNya; kesungguhan seseorang dalam mencari guru (ilmu) adab sopan-santun antara murid dengan guru; dan beberapa contoh tentang cara memimpin dan memerintah rakyat, serta perjuangan untuk mencapai kebahagiaan rakyat dan negara.                  Banyak hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan keutamaan membaca surah ini . 

Tuesday, January 3, 2012

KEMBARA ALAM DI KILIM GEOFOREST PARK


53. Yang telah menjadikan bagimu bumi sebagai hamparan dan Yang telah menjadikan bagimu di bumi itu jalan-ja]an, dan menurunkan dari langit air hujan. Maka Kami tumbuhkan dengan air hujan itu berjenis-jenis dari tumbuh-tumbuhan yang bermacam-macam. 54. Makanlah dan gembalakanlah binatang-binatangmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu, terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang berakal. (Surah Thaahaa: ayat 53 dan 54). Langkawi, sebuah Pulau Lagenda yang penuh dengan misteri dari segi catatan sosial, sejarah dan geografi fizikalnya. Lawatan kembara ke Pulau Langkawi seluas 478 km persegi merangkumi 104 gugusan pulau merupakan lokasi formasi batuan tertua di Asia Tenggara berusia lebih 550 juta tahun dan batu ‘dropstone’ berusia satu bilion tahun. Geoforest Park Kilim mempunyai landskap karst (batu kapur) yang unik dan antara yang terindah di dunia hasil hakisan serta cuaca. Geopark merupakan kawasan yang mempunyai unsur seperti sejarah batu, formasi menarik pelbagai jenis batu, landskap unik dan indah, keseluruhan kawasan yang menarik dan mempesonakan serta mempunyai nilai warisan yang boleh dihayati dan dipelihara. Langkawi Geopark telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan , Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-52. Geoforest Park Kilim,merupakan geopark pertama di Asia Tenggara menjanjikan pengembaraan yang unik dan boleh mengagumi nikmat Maha Kuasa yang menjadikan bentangan bumi oleh Allah SWT. Menerokai hutan paya bakau, menelusuri lorong dan terowong pembentukan bukit batu kapur, gua yang tersembunyi dan tumbuhan yang unik adalah pengembaraan bersama alam anugerah yang perlu disyukuri. Maha Kuasa Allah yang menjadikan alam anugerah ini begitu unik, istimewa yang tidak terjangkau oleh otak manusia yang kerdil ini, untuk mengatakan hakikat sebenar kewujudannya. Dedahan pembentukan formasi batu-batan, pembentukan tumbuhan menghijau, aliran air masin dan tawar yang bergandingan, fenomena kehidupan bukan manusia yang begitu unik dan tersusun dengan sunahtullah ekosistem yang seimbang adalah teori dan kajian oleh akal manusia yang mempunyai banyak batasannya. Wallahu`alam.

Thursday, December 29, 2011

BERSYUKUR menaiki GONDOLA dapat melihat PANORAMA indah

Masya-Allah…. Begitu menakjubkan kejadian pembentangan bumi dan gunung ganang oleh Maha Pemilik Alam Semesta. Begitu menarik panorama alam fizikal dengan laut membiru, tanah pamah yang menghijau, air terjun yang terus berlari dengan air yang tidak pernah kering dari puncak gunung yang tinggi…masihkah manusia menidakkan bahawa adanya Tuhan – ALLAH yang mencipta segala-gala di alam maya pada ini. Rugilah manusia yang kufur dan tidak bersyukur kepada Allah yang menjadikan kita insane yang begitu kerdil ini. Ayat-ayat Allah terbentang luas di mana sahaja kita berada. Malah dalam Al-Quran juga menyebut tentang hamparan bumi dan gunung ganang ini.
An Naba': 6-8. Bukankah Kami telah menjadikan bumi itu sebagai hamparan?, dan gunung-gunung sebagai pasak?, dan Kami jadikan kamu berpasang-pasangan.
Al-Hijr :19. Dan Kami telah menghamparkan bumi dan menjadikan padanya gunung-gunung dan Kami tumbuhkan padanya segala sesuatu menurut ukuran. Menaiki kereta kabel, mengecutkan perut bagi sesiapa yang gerun, memejamkan mata kerana gerun dan gayat- melihat lurah dalam, atau cenuram, cerun yang tegak. , muntah pening-menelusuri gondola yang bergoyang-goyang. Kereta kabel Langkawi yang mula dibuka kepada umum pada 27 Februari 2005 terletak di Gunung Mat Chinchang, barat laut pulau Langkawi. Kereta kabel ini boleh membawa pelancong tiba ke puncak gunung yang tingginya 713 meter itu. Panorama gunung batu kapur zaman geologi Cambrian 500 juta tahun ini memang menarik. Panjangnya 2.2 km dan terpanjang di dunia. Sistem pengurusan kereta kabel ini diselenggara dan diuruskan oleh Panorama Langkawi Sdn. Bhd. Sistem pengangkutan kereta kabel ini dibina dari April 2001 hingga Ogos 2004.[2] Panjang keseluruhan kabel ialah 919.5 meter dan telah mencipta rekod Malaysian Book of Records.

KEM SEPAKAT TKB – pengisian aktiviti di Pulau Lagenda

Ya Allah Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi perintah-Mu, bersatu memikul beban dakwah-Mu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu, maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalan-Nya. Penuhkan hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman/keyakinan dan keindahan tawakkal kepada-Mu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma`rifat tentang-Mu. (Jika Engkau mentaqdirkan mati), maka matikanlahh pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong… Ya Allah perkenankanlah permintaan ini… Doa rabitah ini tidak lekang di bibir diamalkan oleh ahli kem selepas bacaan ma`thurat selepas solat Isyak dan subuh berjemaah.
Tazkirah atau peringatan diberikan kepada diri sendiri dan rakan-rakan tentang peranan dan tanggung jawab kita sebagai khalifah dan hamba Allah walau di mana sahaja kita berada. Rasa syukur yang tidak terhingga atas rezeki serta ruang dan peluang-Nya jua yang mengizinkan kami warga TKB dapat berhimpun di pulau Lagenda bagi mengukuhkan ukhuwah untuk kerja sepasukan yang utuh dan mantap. Aktiviti kumpulan secara tersirat dan tersurat meninggalkan kesan yang mendalam tentang pentingnya menjaga nama baik institusi yang memberikan kita peluang mencari rezeki dan berbakti, beramal jariah dan berbudi untuk bersama melahirkan insan rabbani yang soleh wa musleh. Kesempatan berziarah di lokasi menarik di keliling Pulau Lagenda Langkawi, mengukuhkan ikatan ukhuwah di kalangan warga kerja Tadika Khalifah Bestari. Hadiah jaulah dengan menaiki pesawat udara, kos lodging dan lawatan yang melibatkan kos hampir puluhan ribu ini, semoga menatijahkan kenikmatan, keberakahan, kemakmuran dan keharmonian yang tidak ternilai harganya daripada Allah SWT. "Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh".. Al-Quran Surah Ash-Shaff :6


Tuesday, December 27, 2011

ke LANGKAWI - jengah teratak SIREH LAGENDA lagi

Alhamdulillah, Oktober 2011 yanglalu, diizinkan sekali lagi berjaulah ke Pulau Lagenda Mahsuri. Sudah pasti, mesti singgah membeli produk herba dan gamat di Teratak Sireh Lagenda, sebagai ole-ole dari Pulau Mahsuri. Maaf ...panggil teratak, sebab gambar yang tertera di lokasi Sireh Lagenda masih kurang ceria. Namun kali ini dapat jengah ke belakang - tengok proses buat minyak gamat. Anak muda yang memberi penerangan tentang proses buat gamat ni, dah serak-serak -ramai tetamu yang bekunjung agaknya ke premisnya. Berkat penerangannya yang berulang-ulang menampakkan keyakinan dan kefasihannnya menyampaikan maklumat. Syabas! dapat maklumat produk Sireh Lagenda(SL) dah memasuki pasaraya Tesco. Mudahan-mudahan SL dapat juga memasuki pasaraya-pasaraya besar yang lain.. Harapan dalam masa lima tahun lagi, teratak Sireh Lagenda akan menjadi premis yang lebih kondusif, dipenuhi dengan galeri maklumat, di kelilingi dengan landskap herba yang indah. Kawasan keliling yang nampaknya masih lapang, jika didirikan restoren SL yang berbintang, rasanya pelanggan SL bertambah, Insya-Allah. Yang pasti - kami pelanggan setia SL setiap kali berkunjung ke Langkawi, boleh pula makan-makan dan tumpang solat di situ.Jaulah ke Langkawi kali ini,membawa guru-guru TKB berjaulah - sebagai jaulah Permuafakatan dan penandaarasan ke Tadika Seri Negeri Langkawi, di pekan Kuah. Banyak dapatan dan pembelajaran yang boleh dijadikan penandaarasan untuk memperkasakan pendidikan di TKB. Diharapkan semangat guru-guru TKB berkobar-kobaruntuk melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anak menjadi insan soleh wa musleh. Walaupun pendekatan pengsisian pendidikan di TSN berbeza dengan wawasan TKB, namun pendekatan guru cemerlangnya boleh dijadikan contoh, bagaimana beliau dapat membimbing anak didik beliau boleh menguasai 4M dengan mudah. Tiga hari di pulau permai ini, selain dapat shopping di IG, juga dapat mensyukuri dan menikmati keindahan dan keajaiban kejadian alam semesta, di Kilim Geopark, naik kereta cable , berendam kaki di Kolam air Hangat dan makam Mahsuri. MasyaAllah, Maha Kaya Allah, tuhan semesta Alam yang membentangkan bumi sebagai lautan dan gunung ganang sebagai pasak... Nauzibillah, masih ramai manusia tidak bersyukur.
Gambaran Bilik darjah Pra Sekolah SK Seri Negeri Langkawi.. Terima kasih atas sambutan mesra oleh pihak sekolah - Gurubesar, Penolong Kanan dan guru-guru & staf Kelas Pra Sekolah Seri Negeri, Langkawi.