Banyak hikmah mengambil masa yang lama dalam perjalanan. Masa memandu, di samping penuh konsentrasi untuk pemanduan yang selamat; Imbauan, nostalgia, kenangan dan gambaran imbas kembali masa lalu dapat dikoleksi kembali dalam minda. Himpunan perkara-perkara itu boleh dinotakan untuk kenangan atau untuk dikongsi bersama terutama dalam blog ini.
TOKtan, itulah gelaran datuk lelaki sebelah ibu, yang masih jelas dalam ingatan, seorang lelaki bertubuh sasa, tinggi, berbadan tegap dan berkulit agak cerah. Anak seorang TOKempat (ketua kampung) Chenor Sebarang yang bernama Imam Hassan. Anaknya yang ada gelaran lebai, mempunyai nama yang ringkas sekali iaitu CHIK. Aku masih teringat bermanja dan duduk diribaannya walaupun beliau amat penat dalam membanting tulang empat kerat dengan menanam padi dan menoreh getah untuk mencari sesuap nasi.Kerjaya terakhir beliau setelah anak-anaknya yang hanya seramai dua orang itu (termasuk Ibuku)berkahwin dan selepas TOK (nenek) meninggal dunia, beliau mula beralih kerjaya dengan berniaga. Itulah, kuberi gelaran toktan sebagai usahakiyuh .....usahawan berjalan kaki dan berkayuh!!!!.
Usahanya begitu gigih dan mengagumkan. Berniaga dengan hanya berjalan kaki berbatu-batu dan berkayuh sampan menyelusuri sungai Pahang bermalam-malam walau pun usia mencecah 50/60an. Sebelum merdeka, pengangkutan utama adalah sampan kayuh, sungai Pahang adalah jalan air, anugerah Ilahi yang tersirat seribu satu macam nikmat pembentukannya.
Bermula dengan berniaga BUDU..'ikan bilis pekasam' yang di ambil dari PEKAN, Kuala Sungai Pahang. Bayangkan Toktan berkayuh sampan dari Cenor - Pekan - Cenor. mengambil masa berminggu untuk sampai balik ke Cenor dengan singgah bermalam di kampung-kampung di sepanjang tebing Sungai Pahang sambil menjual barang-barang niagaan beliau. Bermula bilis pekasam berkembang kepada ikan yang lebih pesar, iaitu ikan air tawar dari Tasik Chini, masih lagi dalam bentuk ikan pekasam untuk simpanan yang lebih lama. Lauk budu dan ikan pekasam adalah makanan lauk utama orang-orang kampung masa itu. Amat berselera makan berlaukkan budu dan ikan pekasam di hembusan desir angin tengahari di dalam sawah padi.