Wednesday, April 18, 2012

ZIARAH LANGKAWI pasti MENGGAMIT lagi....

Dikatakan  natijah sumpahan Mahsuri sudah berakhir. Namun, apa yang pasti, kisah Mahsuri tetap menjadi lagenda yang boleh dijadikan iktibar. Mungkin kisah tersebut terus berulang dalam kehidupan kita yang semakin moden ini, akibat sifat iri hati, perebutan dan pengekalan kuasa dan fitnah, orang yang tidak berdosa terus dizalami dan menjadi korban. Hakikatnya, kita perlu mengikut pedoman al Quran dan al Sunnah untuk menjalani hidup yang sejahtera di dunia dan di akhirat.
 Pemandangan indah, menerokai alam anugerah yang mempesonakan, lawatan ke perkampungan lagenda Langkawi atau lagenda Mahsuri, menggamit analogi kehidupan bermuamalat masa kini di sepanjang perjalanan pulang. Masya-Allah, setiap detik makhluk Allah yang bernyawa mahupun yang tidak bernyawa berzikir dan bertasbih kepada PENCIPTAnya.

 Insan berakal yang digelar manusia adakah juga begitu? Damainya air laut membiru di hutan bakau, sepinya sang kelawar di gua merindui malam yang kelam, cerianya ikan di kolam melakonkan lagak kepada pengunjung, megah dan manjanya helang kawi memburu santapan yang diberi di lokasi KLIM geoforest, menggambarkan juga sebahagian manusia yang hidupnya tenang dan damai kerana mematuhi kehidupan bersyariat. Di panorama yang lain sebaliknya terjadi, Deruan angin kencang membadai ombak ganas memukul pantai yang gersang, berterbangan sang kelawar dengan bunyi yang merimaskan akibat ketidaksabaran menunggu malam, perebutan makanan sang ikan di sangkar mengocak air jernih yang tenang, Helang kawi  yang merajuk menggugurkan `he`, tak sangka helang kawi  jadi `langkawi`.
Begitulah sebahagian kumpulan kedua, kehidupan manusia di bumi permai  yang tercinta ini, begitu sombong dan rakus menzalimi diri sendiri dan orang lain. Demam pilihanraya, macam-macam cerita dilaporkan. Satu pihak bertungkus menyusun strategi untuk mempertahankan kuasa, kekadang sehingga mengamalkan konsep `Matlamat menghalalkan cara`. Contoh nyata terkena kepada diri sendiri, nama dihilangkan dan dipadamkan dari senarai mengundi oleh tangan-tangan ghaib dalam SPR pada PR ke 11 sehingga terpaksa mendaftar semula untuk mengundi pada PR 12. Pengundi hantu, anugerah KP dengan mudah, macam-macam cerita didengari.


Begitu juga tomohan yang sentiasa memburuk-buruk dan mengeji pihak lain walaupun sebangsa dan seagama.  Kalau ` matlamat mengamalkan cara` perkara yang aib didengari tersebut tidak mustahil berlaku. Rakan-rakan saudara seislamku, elakkan bersekongkol dengan strategi-strategi yang salah dan tidak adil ini, kerana bukan sahaja kita menzalimi diri sendiri, malah padahnya akan menimpa masyarakat, bangsa dan negara  juga….Seperti nota sejarah apabila bangsa Arab yang memimpin umat Islam tidak lagi berpegang kepada Islam kerana leka dengan kuasa yang dijadikan peluang mengumpul harta kekayaan dan kemewahan.  Islamnya hanya menjadi sampingan amalan peribadi masing-masing, sehingga urusan politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain dipisahkan daripada Islam,  Maka Allah menukarkan kepimpinan mereka kepada kalangan kaum bangsa bukan Arab.
Kenyataan ini berasaskan firman Allah: Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang bakhil, dan sesiapa yang bakhil sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri, dan Allahlah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang sangat berhajat kepada pertolongan Allah; dan jika kamu berpaling daripada menegakkan agama Allah (Islam) nescaya dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini......................
(Surah Muhammad: 38)..........................................................

Kedudukan atau kuasa yang diperolehi dengan secara tidak sah dan tidak adil, menatijahkan pendapatan yang tidak sah juga. Pendapatan yang tidak sah, daripada sumber yang tidak baik atau halal mendarah daging yang pasti melahirkan masyarakat dan budaya yang bobrok. Ia akan dipersoalkan di hadapan Allah di hari akhirat kelak. Yang lebih parah ialah kaum atau bangsa yang berciri tidak amanah tersebut sewajarnya  seperti amaran Allah dalam maksud ayat di atas,tidak diterima oleh Allah dengan menggantikan tempat tersebut dengan kaum dan bangsa yang lebih baik - `golongan yang mengajak kepada kebaikan dan yang mencegah apa sahaja yang mungkar, Fikir-fikirlah.............................................................................

Sunday, April 8, 2012

IKTIBAR LAGENDA MAHSURI


Ziarah ke Perkampungan Ulu Melaka, tempat kelahiran Puteri Langkawi, jolokan gadis lagenda bernama Mahsuri, anak Pandak Maya dan Mak Andam merupakan seorang gadis kelahiran Pulau Langkawi pada penghujung kurun ke-18 Masihi, banyak iktibarnya.

Wanita cantik ini kononnya dicemburui oleh banyak wanita dan lelaki, yang memberi padah fitnah dan pembunuhan manusia yang mungkin tidak berdosa ini.

Dua iktibar dari lagenda Mahsuri ini yang perlu dijadikan panduan dalam kehidupan ini. Pertama `wanita cantik yang dicemburui`, boleh dielakkan jika kehidupan kita mematuhi syariat. Mematuhi perintah Allah agar menutup aurat, bagi melindungi diri dari iri hati dan kejahatan…
AYAT dalam surah Al-Ahzab yang dipaparkan di atas, jelas sekali tentang perintah Allah supaya isteri-isteri orang mukmin supaya memakai jilbab atau tudung yang menutup seluruh tubuh mereka. Tujuan memakai jilbab tersebut dijelaskan lagi supaya mereka tidak diganggu. Maha hebat Kuasa Allah yang memerintahkan manusia mematuhi syariat NYA, agar kita selamat di dunia dan di akhirat. Apakah kita masih lagi terus mengingkari ayat-ayat Allah yang semuanya wajib dipatuhi agar menjadi panduan kehidupan di dunia ini.
Kedua `fitnah` boleh menatijahkan dosa yang besar kerana menyebabkan pecah belah dan masyarakat porak peranda. Maksud Al-Quran, dalam sebahagian ayat 217, memberi amaran bahawa Dosa pembawa fitnah adalah lebih berat daripada dosa membunuh.
Nah, ini lagi nasihat berupa amaran kepada kita, agar mengelakkan diri, keluarga, masyarakat dan ummah dari membuat fitnah. Menyebarkan fitnah atau menyebarluas perkara-perkara yang tidak pasti atau apa sahaja perkara yang boleh menatijahkan kemudharatan ummah, adalah dilarang. Elakkanlah, menyebarkan umpatan, fitnah yang boleh menyebabkan bala menimpa makhluk alam...nauzubillah min zalik.