Thursday, July 2, 2009

Perjalanan Malam Amal ...oleh Moderator PIBG.net

Majlis dimulakan dengan doa syahdu diikuti ucapan aluan Pengerusi PIBG, Prof Madya Ir Dr Kamal Nasharuddin. Isinya ringkas tetapi padat. Gah nampaknya majlis bila wajahnya turut terpapar di big screen Dewan Sri Siantan. Ucapan seterusnya oleh wakil penaung Prof Dr Nor Gani. Beliau berkongsi faktor kejayaan pengutipan dana oleh sahabat beliau dari Korea yang berjaya mengutip ratusan juta dolar Amerika untuk Universiti Seoul. Antara faktor kejayaan pengumpulan dana yang dikongsikan ialah pelapuran penggunaan dana secara telus dan berkala serta penglibatan alumni-alumni secara serius. Alhamdulillah FASA (Former Al-Amin Students’ Association) telah mengorak langkah untuk bersama menjayakan Malam Amal. Syabas dan teruskan!

Montaj Sri Al-Amin 20 tahun mengimbau titik permulaan di masjid lama Serdang dengan 41 orang murid Tahun 1 dan kini bilangan pelajar mencecah 997 orang. Pastinya bilangan ini lebih besar sekiranya kita mampu membina prasarana yang lebih baik. Sudah sampai masanya kita memikirkan ’projek besar’ untuk menambah kapasiti sekolah Sri Al-Amin bagi menampung permintaan yang meningkat saban tahun. Tidaklah kita terpaksa menolak permohonan kemasukan ke Tahun 1 saban tahun.

Terdapat kelainan pada Majlis Malam Amal Sri Al-Amin kerana majlis dihentikan untuk solat Isya’. Selepas Isya’, majlis disambung dengan jamuan makan malam yang telah sedia terhidang. Hadirin dihiburkan dengan persembahan angklung pimpinan Dr Azma. Kami sekeluarga memang menunggu-nunggu persembahan angklung. Persembahan Kumpulan ’Arumba’ (Alunan Rumpun Bambu) menjadi halwa telinga semasa santapan jamuan makan.

Persembahan kumpulan SMI Sri Al-Amin ’Fauzan’ bersemangat dengan nasyid ’Merah Saga’ mengenai perjuangan Palestin. Ahli-ahlinya tampil kemas dan tampan dengan seragam KRS. Saya difahamkan kumpulan nasyid ini memenangi johan pertandingan nasyid sekolah-sekolah yang diadakan di Sekolah Kiblah baru-baru ini. Kumpulan ’Plain’ dari UIA walaupun dengan pakaian putih ’plain’ menyampaikan persembahan yang merdu dan ’polished’. Saya difahamkan mereka dibimbing oleh penasyid-penasyid profesional.
Suntikan Minda Tuan Haji Arifin Hassan bertajuk ’Langkah Strategik dalam membentuk Keibubapaan Kelas Dunia’ mengetuk minda hadirin agar meletakkan sasaran tinggi melahirkan pemimpin kelas dunia ’khaira ummah’ yang akan mengembalikan kecemerlangan Islam di persada dunia. Beliau memberi contoh bagaimana usaha Yusuf Islam (Cat Stevens) yang berjaya membina sekolah Islam di pinggir London yang dinobatkan sebagai sekolah yang terbaik di England. Beliau juga menekankan peri pentingnya aspek ko-kurikulum dalam skil kemahiran hidup dan ’soft skills’ dalam membina kepimpinan yang berwibawa. Peranan ibubapa diperingatkan supaya membina jambatan hati (connection) dengan anak-anak dan agar ibubapa menjadi ’role model’ kepada anak-anak.

Persembahan saudara Nasution yang merupakan bekas Muallim Sri Al-Amin diiringi oleh pelajar-pelajar Sri Al-Amin dari Kumpulan Emminence menusuk hati hadirin dengan suaranya yang gemersik.

Walaupun hampir mencecah detik 12 malam, persembahan Muadz dengan iringan percussion dan powerpoint memukau hadirin dengan lagu-lagu berdasarkan hadith. Saya kagum dengan kemampuan vokal graduan undang-undang terbaik UIA 2003 disamping penguasaan beliau dalam bahasa Arab dan Inggeris. Muadz yang juga merupakan ’produk’ sekolah rangkaian Musleh kini giat menyebarkan dakwah melalui seni. Tidak mustahil untuk beliau berdiri setara dengan Sami Yusuf dan Zain Bika yang terkenal di persada nasyid dunia.

Syabas kepada gandingan F&F, Dr Fazilah dan saudara Fadhli yang berjaya menerajui majlis Malam Amal dengan jayanya.

Yang pasti, coretan ini tidak dapat merakamkan semua detik bersejarah perjalanan Malam Amal Sri Al-Amin. Hanya sekadar coretan yang tentunya banyak salah silapnya. Sekalung penghargaan diiringi ucapan Jazakumullahu khairan kathira kepada semua yang menjayakan Malam Amal Sri Al-Amin. Ya Allah Ya Syakur, catatlah amalan hamba-hambaMu sebagai amal soleh disisiMu.

Mohon maaf sekiranya ada salah silap dalam coretan ini.

P/S Mohon email kepada saya sekiranya ada gambar-gambar Malam Amal yang boleh saya paparkan di blog bersama coretan ini.

~Halimah
Moderator pibg_siab
www.coretan- naluri.blogspot. com utk koleksi Coretan Moderator
www.mybrindley. com

No comments: