Thursday, March 8, 2012

Lagenda Mahsuri di Kampung Kedah Langkawi


Rombongan Jaulah Langkawi kami juga mengambil kesempatan menjengah sebentar di Kota Mahsuri , Kampung Kedah.  Lawatan sekitar kota Mahsuri, mengimbau nostalgia indah keceriaan kehidupan semasa kecil di kampong permaiku yang indah. Lesung kaki, yang terdapat di bawah rumah tinggalan keluarga Mahsuri, kuambil kesempatan untuk menumbuknya. Teringat aktiviti menumbuk emping pada waktu petang dan malam secara beramai-ramai sambil bergurau senda , yang terkadang-terkadang  tersasau membuat gossip di bawah rumah warisan ibuku. Aku juga pernah menggunakan kemahiran kedua belah tangan menjalankan aktiviti serentak menggoreng padi di sebelah kanan dan menyudip emping padi dalam lubang lesung yang sedang ditumbuk kencang. Masya-Allah aktiviti melompat,  menumbuk kaki lesung berirama dengan hentaman antan ke dalam lubang lesung merupakan aktiviti riadah yang menyegarkan. Pergerakan mengoreng padi atas api yang panas sebelah tangan dengan sebelah tangan lagi menyudip padi emping yang sedang ditumbuk memerlukan keseimbangan kemahiran gerakan kedua belah tangan. Bayangkan jika tidak mahir menggunakan  sudip buluh yang membalik-balikkan padi dalam lubang lesung yang sedang ditumbuk, boleh melenting atau sudip itu sendiri yang tertumbuk dan seterusnya membahayakan diri. Begitu juga menyangan/menggoreng padi muda dalam kuali dengan gerakan yang tidak rata terutama bagi mereka yang tidak mahir menggoreng, boleh menyebabkan padi mentah atau hangus. Masya Allah, syukurnya aku membesar dalam kehidupan kecil dan remajaku yang penuh dengan aktiviti jasmani yang aktif di samping aktiviti sara hidup yang melonjakkan kemahiran minda berfikir secara optima dengan menggunakan seluruh pasangan anggota dan pancaindera kiri dan kanan  secara seimbang. Alhamdulillah, natijahnya  ia membesarkan kami dua belas orang adik beradik dengan tumbesar yang seimbang dari segi kognitif, psykomotor, emosi, intelek dan spiritual.

No comments: