Friday, September 26, 2025

KEMBARA AKHIR (3)

 Bab 3: Bekal untuk Pulang

Islah diri adalah proses reformasi diri dan dilalui  secara bertahap. Proses islah kali ini merupakan titik mula yang yang dirasakan tersusun & terbimbing. Maha suci Allah, Ya Rahman Rahim..yang membimbingku untuk islah diri, dengan petunjuk jalan untuk berjumpa dengan Mu ya Robbi!.

Allah SWT berfirman:

إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Maksudnya: Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.

(Surah Hud: 88)

Subuh itu terasa lain. Udara yang menyentuh kulit begitu sejuk, tetapi hatiku hangat dengan rasa syukur yang pekat. Ketika sujud terakhir solat Subuh, aku menangis tanpa suara. Rasanya seperti mendengar bisikan lembut: 

“Pulangkanlah dirimu pada Pemiliknya dengan bekal terbaik.”

Sejak titik derap ketukan pintu hati itu,  aku mula mengubah ritma hidup. Bukan sekadar solat yang lebih terjaga, tetapi juga hati yang lebih rajin memaafkan. Aku mula menulis senarai pendek: siapa yang aku pernah sakiti; siapa yang aku perlu hulurkan salam; siapa yang aku perlu ziarah sebelum kembara terakhir ini sampai ke penghujung.

Aku belajar bahawa bekal untuk pulang bukan sekadar wang ringgit atau peninggalan harta. Bekal itu adalah hati yang bersih, hubungan yang jernih, amal yang ikhlas. Ada tiga hal yang aku tanam kuat dalam jiwa:

i Taubat dan istighfar – mengaku kelemahan, mengampuni diri sendiri, memohon ampun kepada-Nya.

Maksud Firman Allah :-

وَيَٰقَوۡمِ ٱسۡتَغۡفِرُواْ رَبَّكُمۡ ثُمَّ تُوبُوٓاْ إِلَيۡهِ يُرۡسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيۡكُم مِّدۡرَارًا وَيَزِدۡكُمۡ قُوَّةً إِلَىٰ قُوَّتِكُمۡ وَلَا تَتَوَلَّوۡاْ مُجۡرِمِينَ

Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!( Surah Hud :52 )…

ii Menghidupkan amal soleh – menjaga solat malam, sedekah diam-diam, berzikir ketika lengang.

Nas Al Quran bermaksud :- 

مَنْ عَمِلَ صَـٰلِحًۭا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌۭ فَلَنُحْيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةًۭ طَيِّبَةًۭ ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.( Surah Al Nahl : 97)

iii Menyambung silaturahim – menghubungi yang lama terputus, memohon maaf, mengucapkan terima kasih.

Firman Allah SWT bermaksud:-

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْتُرْحَمُونَ

"Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara. Karena itu, damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat."( Surah Al Hujurat Ayat 10 )

Aku juga semakin banyak membaca al-Quran, bukan sekadar bacaan tetapi tadabbur ayat demi ayat. Ayat-ayat yang dulu terasa jauh kini bagai menyentuh terus ke dalam dada. Aku jadi sedar bahawa kembara terakhir ini bukanlah tentang meninggalkan dunia, tetapi tentang kembali kepada-Nya dengan jiwa yang mengenal-Nya.

Ada hari aku menziarahi guru-guru sahabat lama. Ada hari aku menjemput anak-kakak dewasa di rumah ke madrasah untuk makan bersama. Setiap langkah kecil itu terasa seperti mengisi beg perjalanan. Mendapat peluang menyantuni dan mengembirakan rakan yang lain, Hanya Allah sebaik2 memberi kemudahan & kelapangan kepada memusia.

RASULULLAH Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain.

(Riwayat Ibn Hibban)[1

….Aku ingin bekal yang aku bawa ringan tetapi penuh barakah — doa orang yang aku bantu, senyuman orang yang aku hiburkan, keredhaan orang yang aku maafkan.

Menjelang petang, aku duduk di beranda lagi. Matahari turun perlahan, cahaya keemasan menyapu wajahku. Dalam hati aku berkata:

“Ya Allah, aku tidak punya apa-apa selain Engkau. Jadikan bekalku ini tanda cinta-Mu kepadaku. Terimalah aku apabila aku kembali.”

Aku menarik nafas panjang. Inilah momen yang membentuk seluruh hidupku kini: bukan lagi mengejar sesuatu, tetapi menyerahkan diri sepenuhnya. Bekal yang paling berharga rupanya bukanlah di tangan, tetapi di hati yang redho.



No comments: