Monday, June 1, 2009

SEKAPUR SIREH - JAMUAN AMAL SUMBANGSIH SRI AL-AMIN


SEUNGKAP BICARA

Dengan Nama Allah yang Pengasih Lagi Penyayang

Segala puji-pujian kepada Allah kita persembahkan dan segala selawat dan salam kita junjungkan kepada Nabi Besar kita Muhammad S.A.W. Dipanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana kita semua diberi kekuatan dan kesihatan yang terpelihara serta mendapat hidayah-Nya sehingga kita dapat berkumpul dalam Majlis Jamuan Amal Sumbangsih SRI AL-Amin di Dewan Sri Siantan ini. Tiada daya dan kuasa untuk kita melakukan semuanya, kecuali mengharap pimpinan dan pertolongan Allah s.w.t jua, agar Majlis Sumbangsih ini, mendapat rahmat dan keredhaan-Nya. Saya bagi pihak semua urusetia amat bersyukur dan mengalu-alukan kehadiran dan penyertaan para hadirin dalam majlis silaturrahim dan permuafakatan ini. Tidak lupa juga, ucapan terima kasih kepada para dermawan tanpa hadir, yang turut menyumbang kepada pihak sekolah.

Sesungguhnya, bukan sekadar sajian hidangan yang kita jamah yang menjadi rezeki malam ini yang perlu kita syukuri, namun yang penting untuk kita bersama terjemahkan rasa amat syukur dan terima kasih atas rezeki dan nikmat yang diberikan kepada kita, sehingga kita dapat menyumbang dan menaja majlis yang barakah ini. Segala infaq yang dihulurkan, sama ada dalam bentuk material, kepakaran ilmu dan idea, kepakaran seni dan bicara, usaha dan tenaga adalah anugerah Allah yang kita dapat himpunkan dalam majlis yang penuh harmoni dan sejahtera ini. Semoga jalinan kerjasama, jaringan permuafakatan, ikatan silaturrahim, di samping doa dan harapan, di kalangan ibu bapa, alumni, sahabat dan warga Sekolah SRI Al-Amin agar berterusan sehingga kita bersama dapat merealisasikan Hala Tuju Pendidikan sekolah itu. Visi sekolah untuk menerajui Sistem pendidikan Islam bagi melahirkan insan Rabbani, perlu kita sokong dan bersama membantunya.

Dana yang kita bersama usaha dan kumpulkan ini, InsyaAllah dapat membantu sekolah memenuhi objektif atau tujuan kita menganjurkan Majlis Jamuan Amal ini. Semoga segala usaha kita yang sedikit ini, dapat membantu sekolah menyediakan prasarana keilmuan yang lebih baik untuk mengembangkan potensi pelajar dari segi ketaqwaan, akhlak, keilmuan, ketrampilan dan kemahiran.

Alhamdulillah kejayaan majlis ini adalah dari izin Allah di samping penglibatan, penyertaan dan sokongan para hadirin dan dermawan semua. Oleh itu saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua hadirin yang dapat meluangkan masa untuk hadir dalam majlis ini. Begitu juga ucapan terima kasih kepada semua urusetia, rakan-rakan dan para dermawan yang membantu dan menyumbang untuk menjayakan majlis ini. Juga, terima kasih kepada para pegawai Kompleks Perbadanan Putra Jaya yang membenarkan kita menggunakan dewan yang permai ini. Semoga perhimpunan kita di dewan ini mendapat keberkatan dengan natijah kemenafaatan yang tak terhingga. Apa yang baik itu hanya dari Allah dan segala kelemahan dan kekurangan itu daripada kami.

Sekian, Wabillah hi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh. Terima kasih.


PENGARAH
Jamuan Amal Sumbangsih

No comments: