Tuesday, November 24, 2009

Graduan kecil - Tadika Khalifah Bestari 2009







SEUNGKAP BICARA - Aluan Pengerusi Lembaga Pengelola Tadika Khalifah Bestari

Dengan Nama Allah yang Pengasih Lagi Penyayang

Segala puji-pujian kepada Allah kita persembahkan dan segala selawat dan salam kita junjungkan kepada Nabi Besar kita Muhammad S.A.W. Dipanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana kita semua diberi kekuatan dan kesihatan yang terpelihara serta mendapat hidayah-Nya sehingga kita dapat berkumpul dalam Majlis Hari Ihtifal Tadika Khalifah Bestari pada tahun ini. Tiada daya dan kuasa untuk kita melaksanakan majlis dengan baik, kecuali mengharap pimpinan dan pertolongan Allah s.w.t jua, agar Majlis Ihtifal ini berjalan dengan lancar di samping mendapat rahmat dan keredhaan-Nya. Saya bagi pihak semua urusetia amat bersyukur dan mengalu-alukan kehadiran dan kerjasama para ibu-bapa/penjaga untuk bersama menjaya dan memeriahkan majlis kali ini. Tidak lupa juga, ucapan terima kasih kepada urusetia, pengurus, guru-guru besar dan semua guru dan staf yang bertungkus lumus membimbing, melatih dan menyediakan murid-murid untuk menjayakan majlis ini.

Objektif Majlis ini diadakan, adalah untuk memberikan penghargaan kepada semua anak-anak yang menamatkan pembelajaran mereka di TKB, di samping memberikan pengiktirafan atas kejayaan-kejayaan yang mereka telah lakarkan. Persembahan-persembahan yang mereka persembahkan menunjukkan keserlahan bakat dan daya keyakinan tinggi yang ada pada anak-anak kita. Sesungguhnya potensi anak-anak dari segi aqli, sahsiah, seni dan nilai-nilai estetika, boleh digarap dan disuburkan dengan bimbingan yang wajar dan berhikmah. Ia sebahagian daripada pendidikan formal yang diajar di TKB, yang memerlukan kesinambungannya di rumah dan di sekolah-sekolah berikutnya. Semoga majlis ini dapat mencetuskan memori indah anak-anak semasa mereka belajar di sini, di samping diharapkan semua titisan ilmu dan kemahiran yang mereka dapati di TKB akan terus subur dan berkembang di mana jua mereka melanjutkan pembelajaran sekolah rendah selepas ini.

Akhir kata, semoga jalinan kerjasama, jaringan permuafakatan, ikatan silaturrahim, di samping doa dan harapan, di kalangan ibu bapa TKB berterusan sehingga kita bersama dapat merealisasikan Hala Tuju Pendidikan TKB iaitu ”Proses pendidikan yang berteraskan tauhid untuk membimbing kanak-kanak mencapai potensi yang cemerlang dari segi rohani,jasmani, kognitif, sosio-emosi dan estetika berpandukan Al-Quran dan As-sunnah melalui sistem pendidikan yang bersepadu, seimbang, holistik dan berterusan. Semoga perhimpunan kita di dewan ini mendapat keberkatan dengan natijah kemenafaatan yang tak terhingga. Apa yang baik itu hanya dari Allah dan segala kelemahan dan kekurangan itu dari kami.

’Helping our kids soar through excellence’

Sekian, Wabillah hi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh.

Terima kasih.

No comments: