Monday, July 11, 2011

Pertembungan IMAN dan NAFSU


Penyucian jiwa di tanah suci Makkah Al Mukarramah dalam ziarah umrah sebagai contoh, memerlukan kekuatan spiritual keimanan untuk menghadapi rasukan syaitan dan hawa nafsu. Rugilah tujuan jihad murni untuk penyucian jiwa , dikuasai oleh hawa nafsu, sehingga masa emas untuk beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah, tidak dapat dipenuhi seratus peratus, akibat jiwa dinodai oleh hawa nafsu. Nafsu dan iman ini sering berlaku pertembungan dan pertentangan dalam mempengaruhi hati. Yang kuat akan jadi pemenang dan menentukan sesuatu keputusan.






Akhir Jun sebagai contoh di Mekah & Madinah, suhu waktu zohor boleh mencecah sehingga 45 -50 darjah Celsius. Matahari membahang, hawa kering dan berpinar. Ketika ini jika akal dan nafsu mempengaruhi diri menginginkan kita tidur, berehat, bermalas-malasan di bilik hotel berhawa dingin daripada meredah cuaca yang panas.
Sebaliknya ...akal dan iman kita mengatakan kita perlu ke masjid kerana inginkan pahala beriktikaf, mengaji atau menghafal Al-Quran, memperbanyakkan zikirullah dan sembahyang-sembahyang/tawaf sunat; Di sinilah Berlaku pertembungan perasaan antara Iman dan hawa nafsu, mana yang lebih kuat akan menang dalam pertembungan ini....dan seterusnya keputusan akan diambil!

Begitu juga bila kita perlu bangun untuk solat subuh; Di Madinah pada pukul 3.30 pagi, manakala di Mekah pukul 4.10 pagi, hawa nafsu menginginkan kita terus tidur kerana mata mengantuk.....tapi bila motivasi iman pada Allah menguasai hati...... menyebabkan kita akan bingkas bangun dan terus ke masjid, walaupun perlu berjalan kaki jauh untuk melaksanakan solat tersebut.


Nikmat hidayah perlu dicari, Motivasi diri perlu disuburkan dalam diri supaya ia dapat mempengaruhi nafsu kita dalam membuat keputusan! Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w bahawa Iman tercabut dari jiwa ketika sesaorang itu melakukan maksiat; pada ketika ini hawa nafsu telah menang dan menguasai diri, iman dalam hatinya telah kalah dan hilang!


Sebagai rumusan, boleh dikatakan bahawa tingkat ketaatan dan amal baik yang dilakukan menunjukkan kadar iman dalam jiwa. Bila sesaorang itu bersikap teguh dan istiqamah dalam amal baiknya, ia merupakan bukti atas kuatnya iman yang dimiliki. Sebaliknya bila sesaorang itu lalai dan sering melakukan maksiat menunjukkan kuatnya hawa nafsu dan lemahnya iman dijiwa.

SIAPA kita?....di tahap mana iman dijiwa? Yang pasti kita perlu perbaiki diri dengan menundukkan hawa nafsu dengan iman. Perlu cari jalan-jalan untuk suburkan iman dijiwa. Nyahusir hawa nafsu yang sifatnya sentiasa mengajak kita kearah kejahatan.

Demi jiwa serta penyempurnaan ciptaannya , maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasiqan dan jalan ketaqwaan . Sesungguhnya beroleh kemenanganlah mereka yang menyucikan jiwanya dan beroleh kerugianlah mereka yang mengotorkannya . Surah Asy Syams : Ayat 7 – 10
..."Ingatlah pada Allah, hanya dengan mengingatiNya, hati akan menjadi tenang.."

No comments: