53. Yang telah menjadikan bagimu bumi sebagai hamparan dan Yang telah menjadikan bagimu di bumi itu jalan-ja]an, dan menurunkan dari langit air hujan. Maka Kami tumbuhkan dengan air hujan itu berjenis-jenis dari tumbuh-tumbuhan yang bermacam-macam. 54. Makanlah dan gembalakanlah binatang-binatangmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu, terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang berakal. (Surah Thaahaa: ayat 53 dan 54). Langkawi, sebuah Pulau Lagenda yang penuh dengan misteri dari segi catatan sosial, sejarah dan geografi fizikalnya. Lawatan kembara ke Pulau Langkawi seluas 478 km persegi merangkumi 104 gugusan pulau merupakan lokasi formasi batuan tertua di Asia Tenggara berusia lebih 550 juta tahun dan batu ‘dropstone’ berusia satu bilion tahun. Geoforest Park Kilim mempunyai landskap karst (batu kapur) yang unik dan antara yang terindah di dunia hasil hakisan serta cuaca. Geopark merupakan kawasan yang mempunyai unsur seperti sejarah batu, formasi menarik pelbagai jenis batu, landskap unik dan indah, keseluruhan kawasan yang menarik dan mempesonakan serta mempunyai nilai warisan yang boleh dihayati dan dipelihara. Langkawi Geopark telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan , Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-52. Geoforest Park Kilim,merupakan geopark pertama di Asia Tenggara menjanjikan pengembaraan yang unik dan boleh mengagumi nikmat Maha Kuasa yang menjadikan bentangan bumi oleh Allah SWT. Menerokai hutan paya bakau, menelusuri lorong dan terowong pembentukan bukit batu kapur, gua yang tersembunyi dan tumbuhan yang unik adalah pengembaraan bersama alam anugerah yang perlu disyukuri. Maha Kuasa Allah yang menjadikan alam anugerah ini begitu unik, istimewa yang tidak terjangkau oleh otak manusia yang kerdil ini, untuk mengatakan hakikat sebenar kewujudannya. Dedahan pembentukan formasi batu-batan, pembentukan tumbuhan menghijau, aliran air masin dan tawar yang bergandingan, fenomena kehidupan bukan manusia yang begitu unik dan tersusun dengan sunahtullah ekosistem yang seimbang adalah teori dan kajian oleh akal manusia yang mempunyai banyak batasannya. Wallahu`alam.
No comments:
Post a Comment