Saturday, February 20, 2010

TAHNIAH dan SYABAS bekerjaya DOKTOR


Allah SWT telah menentukan pelbagai jenis pekerjaan untuk menyediakan hambaNya sebagai khalifahNya yang dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan cemerlang di muka bumi fana ini. Pelbagai penyakit dan penyembuhnya yang bersesuaian dan serasi adalah sunahtullah untuk manusia bersyukur dan memikirkan tentang keagungan Penciptanya.

Terimalah hakikat, bahawa kesukaran menjalankan tugas semasa ‘houseman’ atau on- call, di sebaliknya mempunyai hikmah yang besar…iaitu untuk menyediakan anda seorang doktor yang dapat mengaplikasi segala ilmu yang dipelajari, berkemahiran, kental, berpengalaman, bijak mengurus diri dan pelanggan, belajar bertawakal, percaya kepada pertolongan Allah. Sebagai pegawai di barisan hadapan untuk mengahadapi pelbagai kerencaman penyakit dan pesakit persediaan itu amat penting untuk dilalui. Belajar untuk rasa bertanggungjawab terhadap pesakit.Jadikanlah kerjaya doktor sebagai satu IBADAH. Serta percayalah setiap penyakit ada ubat penawarnya. Anda sebagai doktor membantu untuk mencarikan penawar itu.

“Dan Kami turunkan dari Al Qur’an suatu yang menjadi penawar (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, tidaklah menambah kepada orang-orang zalim selain kerugian.” (QS. Al Israa’:82)
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Setiap penyakit ada ubat penawarnya dan apabila suatu ubat itu sesuai dengan jenis penyakitnya, maka penyakit itu akan sembuh dengan izin Allah." - maksud hadis riwayat Muslim
Islam telah menetapkan satu prinsip yang jelas berkaitan sesuatu kerja yang boleh dikategorikan sebagai ibadat. Imam Ghazali dalam kitabnya Ikhya' Ulumuddin menjelaskan bahawa setiap pekerjaan itu hendaklah menepati ciri-ciri berikut iatu:

1. Niat dan tujuan kerja itu mestilah untuk menjunjung perintah Allah;

2. Kerja yang dilakukan tersebut tidak bercanggah dengan syariat Allah S.W.T;

3. Kerja yang dilakukan adalah dengan bersungguh-sungguh dan tidak memudaratkan; dan

4. Kerja tersebut tidak menghalang daripada menunaikan syariat Allah S.W.T. seperti solat, puasa dan sebagainya.

Dalam memenuhi syarat untuk menjadikan kerja sebagai satu ibadat seterusnya ialah setiap pekerjaan perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kerja yang dilakukan dapat memenuhi kehendak pelanggan dan dapat meningkatkan produktiviti serta memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan.
Setiap pekerja perlu berusaha dengan sebaik mungkin dan sedia menghadapi segala karenah dengan bersikap sabar, tekun, berwawasan dan seumpamanya. Adalah merupakan satu kesalahan jika kerja yang diamanahkan dibuat sambil lewa. Islam begitu tegas berkaitan kerja secara bersungguh-sungguh ini sehingga dijelaskan oleh Nabi S.A.W :
"Sesungguhnya Allah S.W.T. suka apabila seseorang di antara kamu melakukan sesuatu pekerjaan ia melakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh"(Riwayat At-Tabrani)

No comments: