Wednesday, August 3, 2011

Kembara ke Aqaba Jordan - memahami sejarah @ waqi`




Bermusafir ke Wilayah Aqaba yang bersempadan dengan Mesir, Saudi Arabia, dan Israel di selatan Jordan,melalui pemeriksaan rapi di perjalanan, menyebabkan penulis ingin mengetahui sebabnya. Teluk Aqaba dan Sungai Jordan yang kedudukanya amat strategik dan bernilai dari segi sumberjayanya sudah pasti menyimpan banyak sejarah, di samping menjadi `rebutan`.
Saiz geografi Jordan adalah kecil berbanding dengan negara-negara Arab yang lain, namun sejak awal penubuhannya lagi Jordan tidak boleh dipisahkan dari konflik Israel-Palestin. Sehingga kini, samada secara langsung, ataupun tidak langsung, negara yang menempatkan lebih sejuta pelarian Palestin ini mempunyai peranannya sendiri di dalam percaturan masa depan konflik berkenaan.
Pada tahun 1967 Israel menyerang dan menawan Bukit Golan milik Syria, Tebing Barat milik Jordan dan Gaza milik Mesir dan masih mencengkamnya sehingga ke hari ini. Berbagai sidang damai diadakan dari dulu hingga kini, namun isu Pelarian Palestin untuk kembali ke tanahair mereka, isu Golan, Tebing Barat dan Gaza sedikitpun tidak dihiraukan oleh Israel di satu pihak dan dilindungi oleh puluhan kuasa Veto oleh Amerika di Majlis Keamanan PBB.
Negara-negara Islam sekitar yang tidak bersatu, dan pemerintahan yang mementingkan kuasa dan keturunan menyebabkan ‘Palestin sebagai bumi syuhada dan jihad’ terus bergolak di samping memerlukan kecaknaan seluruh umat Islam sejagat.

Raja Abdullah II berpendidikan barat, merupakan raja Jordan, menaiki takhta pada 7 Februari 1999 selepas kemangkatan ayahanda baginda. Baginda merupakan keturunan generasi ke-43 Nabi Muhammad s.a.w.. Bondanya ialah Puteri Muna al-Hussein, seorang rakyat Britain yang merupakan isteri Raja Hussein kedua. Baginda dilantik sebagai putera Mahkota beberapa hari sebelum kemangkatan ayahandanya setelah Putera Hassan bin Talal bapa saudaranya dipecat.
Baginda menanamkan sifat-sifat nasionalisma yang tinggi di kalangan rakyat jelata. Lagu-lagu yang dibenarkan berkemundang ke udara dalam semua siaran awam adalah lagu-lagu patriotik. Yang pasti apa yang dilakukan oleh Abdullah bukanlah sesuatu yang baru, dia hanya mengulangi langkah-langkah yang diwariskan daripada bapanya dan yang pasti apa sahaja yang akan berlaku pada masa akan datang adalah berkait rapat dengan polisi Jordan terhadap konflik Palestin-Israel.

No comments: