Perjalanan ke Kota Ajloun yang dikenali juga sebagai Ar-Rabad dari Bandar Irbid dengan menaiki bas selama kira-kira 40 minit, dapat melihat dengan jelas pandang darat fizikal dan pandang darat budaya di wilayah bahagian utara Negara Jordan. Iklim separa gurun dan separa Miditerranian dengan mengalami empat musim ini, adalah di antara wilayah yang subur untuk pertanian. Di kiri kanan jalan kelihatan tanaman pohon zaitun dan buah-buahan lain.
Perjalanan balik dengan menaiki teksi, melalui kawasan desa yang banyak kelihatan kebun-kebun buah-buahan dan sayuran. Malah di tepi jalan, banyak terdapat gerai menjual sayuran-sayuran dan buah-buahan seperti strawberi, Cyeri, mis-mis, pic, apricot dan lain-lain.
MasyaAllah, Maha Kaya Allah, membentangkan bumi yang subur sebagai rezeki untuk penduduk bumi. Bersyukurlah atas ni`mat yang tidak terhitung kepada kita, membolehkan kita melihat pelbagai bukti ayat-ayat Allah di muka bumi yang tidak terungkap banyaknya, malah nikmat anugerah ke atas jasad kita sendiri….yang tidak terhitung begitu banyak keajaiban penciptaanNya…. Masihkah lagi kita ..hamba Allah yang dhoif ini menyombong diri?
Dari jauh kelihatan Bukit Auf yang tersergam Kubu Ajloun. Di pintu masuk kubu tersebut terpampang catatan sejarah yang menyatakan fungsi kota tersebut sebagai tempat mengintip tentera salib dan markas penguasaan lombong besi yang terdapat di sekitar Ajloun.
Lawatan ke kota itu, penulis dapat mengimbau catatan sejarah murni lebih 1000 tahun lalu tentang kehebatan dan keperwiraan tokoh Sultan Salahuddin Al-Ayyubi. Baginda dengan tentera baginda dapat menawan kembali Jurusalem/Palestin dalam peperangan Salib yang berlaku selama hampir 6 tahun.
Peperangan Salib mula berlaku pada tahun 1187 M, antara tentera Islam yang dipimpin oleh Sultan Salahuddin Al-Ayyubi dengan 60,000 tentera Kristian yang dipimpin oleh King Richard - pemerintah England pada ketika itu. Kemenangan tentera Islam dibayar dengan darah syuhada seramai 10,000.
Salahuddin Al-Ayyubi bin Najamuddin Ayyubi berketurunan Kurdistan dilahirkan pada tahun 1137 M. Keluarga beliau merupakan tokoh kepimpinan dan ketenteraan yang banyak mempengaruhi pendidikan Salahuddin menjadi tokoh yang berwibawa dan bersahsiah mulia. Pada tahun 1169 M dilantik menjadi wazir (menteri) dan Panglima Angkatan Perang Mesir oleh Khalifah Fatimiyyah dan pada tahun 1175 M beliau dilantik menjadi Raja Mesir. Baginda raja yang adil dan bijaksana. Layanan baginda terhadap tawanan perang tentera salib sangat terhormat, tidak sekali menzalimi mereka, malah tidak sekali membalas dendam terhadap kezaliman tentera salib terhadap tawanan perang mereka, zaman berzaman.
Kubu Ajloun atau QAL'AH AJLOUN(Ajlon Castle).. merupakan salah satu daripada empat kubu Salahudin Al-Ayubi, yang terdapat di Mesir, Jordan dan Syria. Gambaran dan binaan dalaman kubu ini, membayangkan betapa hebatnya kepakaran jurubina, bagaimana pintar dan bestarinya pejuang-pejuang Islam pada zaman itu, menyusun strategi melawan musuh.
Sebagai orang yang beriman, kita patut menyakini bahawa kemenangan yang tuntas adalah dengan pertolongan Allah atas keperibadian muslim yang dipenuhi dengan ciri-ciri keimanan dan ketakwaan yang tinggi kepada Allah …. Janji Allah seperti maksud Al-Quran Surah Muhammad ayat 7 ` Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.
Itulah rahsia kejayaan pejuang-pejuang terdahulu mengalahkan orang musyrik/kafir..
No comments:
Post a Comment