Thursday, September 11, 2008

NOKTAH KERJAYA - UCAPAN PERPISAHAN 2

Ucapan Pengetua
Sempena Ulang Perpisahan Persaraan pengetua
Pada 24 hb Oktober 2007
Assalamuaikum wrtbkth dan selamat sejahtera.
Terima kasih pengacara majlis,
Yang Berusaha Pn Faredah Ismail – Penolong Kanan
Yang dihormati En Othman Omar – Penolong Kanan HEM
Yang dihormati Pn Anita Mazlina – Penolong Kanan Koko
Yang Berusaha En Termizi Mohd Tahir – Penolong kanan Petang.
Ketua-ketua bidang, Ketua Panitia, Kaunselor, guru-guru, murid-murid yang dikasihi sekalian.

Alhamdullillah, kita masih diberi kekuatan dan kesihatan yang baik bagi sama-sama berhimpun bagi merayakan pemergian pengetua kerana diwajibkan meninggalkan sekolah ini kerana bersara wajib. Kita panjatkan kesyukuran kepada Allah swt kerana memberikan kita sekolah yang indah tempat kita bekerja dan belajar, tempat kita menimba ilmu, berinteraksi, berkomunikasi, berintegrasi dan bersosialisasi, Semoga SMKCJ terus unggul sebagai sekolah yang sentiasa dihargai oleh masyarakat dan dibanggakan oleh semua warganya.

Anak-anak yang dikasihi

Mengimbau pandangan dan telahan pertama, terhadap sekolah pasang siap empat tingkat yang tersergam megah ini adalah sebagai mercu tanda kebanggaan masyarakat sekitarnya. Bangunan yang mengandungi 36 bilik darjah itu, ibarat kolej yang serba lengkap dan istimewa yang boleh mengeluarkan produk cemerlang yang dapat memenuhi kehendak pelanggan. Sekolah ini boleh jadi pemangkin kepada keperluan anjakan pradigma kebanyakan masyarakat dan warga kilang sekitarnya ke arah mementingkan keunggulan dan keharmonian. Sekolah ini, sekolah harapan. Ruang dan peluang untuk menuju jaya, gelanggang untuk memburu juara, pentas untuk mengejar cita-cita, jambatan untuk cemerlang kerjaya. Begitulah harapan saya yang baru melapor diri di sekolah ini hampir tiga tahun yang lalu. Semua pelajar dan warga sekolah diharapkan agar dapat menjadikan sekolah mereka satu institusi pendidikan yang kondusif. Harapan saya lagi, agar anak-anak didik menjadi insan bestari, luhur budi pekerti, unggul jati diri, mulia sahsiah diri, tinggi adap sopan dan teguh pegangan agama. Begitu indah, jika impian itu sesungguhnya menjadi realiti?. Ia juga merupakan hadiah istimewa untuk semua pendidik di sekolah ini. Anak-anak yang dikasihi sesungguhnya kita bergerak menuju ke arah itu. Semoga Tahun 2010, sekolah kita ini akan menjadi sekolah cemerlang di Selangor amnya dan di Daerah Hulu Langat khusunya.


Anak-anak sekelian

Sekolah kita tanggung jawab kita. Fikirkan masa depan. Gunakan peluang dan ruang berada di sekolah ini untuk meraih kejayaan cemerlang dalam kurikulum dan ko kurikulum. Semua guru sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak semua. “Kejayaanmu adalah kebanggaan kami’ ungkapan yang sudah memadai sebagai hadiah kepada guru-gurumu yang dedikasi, sabar dan komited dalam membimbing anak-anak semua . Guru-guru pula adalah jurutera insan, bukan sekadar untuk melahirkan generasi yang bijak tetapi melahirkan insan yang bijaksana yang boleh memberi manafaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara

Program Pendidikan dan Pembangunan Insan yang disusun di sekolah ini, diharapkan dapat membantu murid-murid mengubah sikap. Dapat mengetuk pintu hati supaya menyedari bahawa langkah mereka mesti teratur dan terjurus, terutama untuk mengharungi jalan berliku yang masih jauh dan belum selesai. Pengisian pendidikan yang berteraskan nilai-nilai agama dan nilai-nilai murni diharapkan sedikit sebanyak dapat mengisi program penyucian jiwa anak-anak didik Cheras Jaya ke arah yang lebih tulus dan luhur, ke arah destinasi hidup dan kerjaya yang lebih terpimpin dan terarah. Berilah sepenuh tumpuan semasa P & P berjalan. Hormati semua guru, semoga anak-anak dapat barakah, sejahtera dan cemerlang dalam peperiksaan.

Anak-anak dan guru-guru yang dikasihi

Akhir sekali, diharapkan bersama-samalah menjadi warga SMKCJ yang berdisiplin, beretika dan berketrampilan. Warga yang beretika dan berdisiplin dapat memenuhi tuntutan untuk belajar dan bekerja dengan jujur, ikhlas dan cemerlang. Berketrampilan menunjukkan sifat yang proaktif dan terkehadapan dalam menerajui jati diri bagi menuju kebahgian dan kegemilangan di dunia dan di akhirat. Terima kasih atas segala kerjasama, sokongan, sumbangan dan tenaga yang diberikan dalam merealisasikan kecemerlangan pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Jaya, yang dicintai ini. Kesinambungan sokongan dan kerjasama seterusnya kepada kepimpinan baru adalah diharapkan agar sekolah kita terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sekian, Wabillah hitaufil wal hidayah, Assalamualaikum WRHbh, selamat maju jaya dan salam perpisahan.




Ssalmi
S(S+A)/oktober 2007

No comments: