Wednesday, September 10, 2008

NOKTAH KERJAYA - UCAPAN TERAKHIR

catatan kenangan -- kata-kata terakhir dihadapi guru-guru & staf SMK CJ pada 24.10.2007


UCAPAN PENGETUA
SEMPENA PERPISAHAN PERSARAAN PENGETUA SMK CHERAS JAYA
PADA 24 HB OKTOBER 2007

Bismillahhirahmanirrahim

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi amat mengasihani.
Segala puji-pujian kepada Allah kita persembahkan dan segala selawat dan salam kita junjungkan kepada nabi besar Muhammad S.A.W yang dipersuruhkan untuk memberi kita bimbingan dan pendidikan dengan pengertian yang sebenar-benarnya..........

Yang berhormat Dato” Ho Hee Lee, ADUN Balakong, selaku mentoor yang mewakili Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan.

Yang berusaha En Hanizam pegawai perhubungan sekolah SMK Cheras Jaya -PPD yang mewakili Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat,

Yang Berusaha ...........................
YDP/NYDP PIBG


Yang diHormati

Pn Faredah Ismail – Penolong Kanan
En Othman Omar – PK HEM
En Termizi Mohd Tahir – Penolong Kanan –sesi petang
Pn Anita Mazlina – PK Koko
En Kumaran Pengerusi Kelab Guru & staf SMK Cheras Jaya

Para Tetamu undangan
AJK Majlis Payungan Kasih Rimbunan Budi
Ketua-ketua Bidang, Ketua-ketua & penyelaras unit,
Guru-guru dan kakitangan SMK Cheras Jaya
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera


Dato,/Datin, tuan/puan serta para hadirin yang dihormati sekalian.

Alhamdulillah, kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana kita semua diberi kekuatan dan kesihatan yang terpelihara serta mendapat perlindunganNya sepanjang masa sehingga kita dapat berkumpul di Istana Kekuda Emas yang permai ini. Siapalah insan naif dan kerdil INI untuk diraikan sebegini hebat sejak pagi tadi sehingga di sini. Begitu syahdu bersemadi dengan nostalgia rindu menggamit nanti untuk mengungkapkan kata-kata syukur, penghargaan dan terima kasih yang paling indah atas majlis keraian yang tuan/puan adakan ini..

Para Hadirin sekalian,

Tidak pernah mengira hari, tidak pernah membilang waktu, tidak pernah rasa jemu,tiba-tiba roda masa yang bergerak laju terhenti, begitu singkat dan mendadak.Kita yang menurut perintah perlu pasrah dan akur dengan dasar dan peraturan persaraan. Hikmahnya ada, iaitu supaya kita tidak angkuh dan bongkak untuk menjunjung kerjaya sehingga mengabaikan banyak perkara yang lain. Sunahtullah itu memang selari dengan kemampuan kemanusiaan. Subhanallah. Saya begitu gembira kerana hari ini adalah hari raya kebebasan untuk diri saya, saya tidak lagi menjunjung mahkota tanggungjawab dan akauntabiliti sebagai pengetua di SMK Cheras Jaya. Syawal 12, 1428H merupakan satu catatan memori indah yang boleh saya abadikan dalam litupan sejarah kehidupan diri ini. InsyaAllah sejarah perlu dicipta lagi dalam mengharungi liku-liku kehidupan duniawai selebih dan berikutnya yang penuh dengan cabaran dan godaan ini di tempat, di ruang dan peluang yang lain pula jika panjang umur dan diizinkan.

Dato,/Datin, tuan/puan serta para hadirin yang dihormati sekalian.

Enam tahun, 2 bulan, 24 hari di SMK Cheras Jaya, memang hanya singgah sebentar. Hanya sekadar kira-kira 10.7 % daripada masa keseluruhan kehidupan ini. Memang dirasakan terlalu singkat untuk menuai hasilnya, ibarat pohon belum merimbun, cucuk tanam belum berhasil, tanaman belum berbuah, Terfikir - mungkin juga adunan tanah tidak betul, atau menanam di tanah gersang? tanpa baja dan siraman. Begitulah Firasat hati kecil yang tidak pernah berpuashati dengan pencapaian dan prestasi yang dikecapi kerana ekspetasi yang terlalu tinggi. Yang paling menekan dan menakutkan dalam jiwa ini, ialah untuk menjawab persoalan tanggungjawab memimpin terhadap apa yang dipimpin, kemenjadian murid, serta tugas-tugas dalam mengajak ke arah kebaikan sejagat dan mencegah segala kemungkaran. Mungkin juga kerana jiwa ini yang begitu sensitif, akibat melalui dan memenangi begitu banyak masalah-masalah anak-anak didik yang berkaitan dengan disiplin,keremajaan, akhlak dam sosialisasi sehingga memadamkan kejayaan-kejayaan yang diterima.


Dato,/Datin, tuan/puan serta para hadirin yang dihormati sekalian.

Siapalah ketua, tanpa pengikutnya, siapalah pengetua tanpa guru-gurunya, serta siapalah kita guru-guru tanpa staf sokongan dan anak-anak murid kita?. Jadi kita semua adalah saling lengkap melengkapi, dan saling perlu memerlukan. Ibarat sebuah bangunan yang berdiri kukuh dengan sokongan tiang-tiang, atap dan dinding-dindingnya yang tegap dan terikat padu. Satu sokongan yang engkar untuk saling sokong-menyokong akan cacatlah keutuhan sebuah bangunan itu. Begitulah juga dalam senario kefungsian setiap organisasi, setiap warganya memainkan peranan yang sama penting dalam mendokong dan merealisasikan wawasan sesuatu organisasi itu.

Dato,/Datin, tuan/puan serta para hadirin yang dihormati sekalian.

Saya amat bersyukur, dan rasa bertuah bekerja di organisasi SMK Cheras Jaya kerana mempunyai guru-guru dan kakitangan yang begitu rajin, dedikasi dan penuh komitmen serta berltizam tinggi dalam menjaya, menjalan dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan tulus dan ikhlas. Natijah atau buktinya boleh dilihat dan dibandingkan persekitaran fizikal sekolah dahulu dan sekarang yang bayak berubah, anugerah kecemerlangan sekolah yang diterima bertambah setiap tahun. Mandat dasar dan kehendak organisasi pendidikan yang sentiasa berubah dan berkembang dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Dan lihatlah kerjasama dan komitmen serta penglibatan semua warga sekolah dalam menjayakan program khas untuk saya pada hari ini, begitu meriah, ceria dan estetik. Kenangan mengusik jiwa, kata pujian mewangi bak bunga cempaka, persembahan membuggar nostalgia, limpahan hadiah menyentuh rasa, terkesan dan berkesan. Tahniah, syabas dan terimakasih kerana mengorbankan, masa, tenaga dan material, merealisasikan majlis payungan kasih rimbunan budi khusus untuk saya ini.

Kata orang

Di dalam majlis bermuka manis
Di dalam helat duduk bersifat
Di dalam rumah beramah tamah
Di dalam dusun tuntun menonton
Di dalam kampung tolong menolong
Di dalam negeri beri memberi
Di dalam kota rasa merasa
Yang jauh mula nampak
Yang dekat mula bersua
Yang tinggi menahan angin
Yang rendah menahan lapah
Yang didahulukan selangkah
Yang ditinggikan seranting
Yang dilebihkan serambut
Yang dimuliakan sekuku
Bila duduk, duduk berguru
Bila tegak, tegak bertanya
Bila bercakap, cakap beradat,
Bila diam, diam berisi.

Itulah ciri-ciri tuan-tuan/puan-puan warga SMK Cheras Jaya. Teruskan menerajui inovasi kecemerlangan SMK cheras Jaya

Akhir bicara, dengan rendah hati, izinkan saya mengambil kesempatan ini, untuk memohon berbanyak-banyak keampunan dan kemaafan terhadap apa sahaja kesilapan, kesalahan, terlanjur kata,terguris rasa. Juga mohon halalkan apa sahaja termakan, terminum, terambil dan terpakai. Doakan kita terus sejahtera dan bahagia di dunia dan di akhirat. Terima kasih sekali lagi atas kehadiran semua pihak dan atas usaha menjayakan majlis ini. Setulus budi, semarak kasih dalam kenangan.

Sekian, wabilah hitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahiwaba raktuh.salam ceria dan sejahtera.

Terimakasih.

No comments: