Thursday, September 11, 2008

SEKAPUR SIREH-SEGUNUNG HARAPAN

CORETAN CABARAN - LUAHAN KELEGAAN

Sekapur Sireh – Segunung Harapan

Pandangan dan telahan pertama, terhadap sekolah pasang siap empat tingkat yang tersergam megah itu adalah sebagai mercu tanda kebanggaan masyarakat sekitarnya. Bangunan yang mengandungi 36 bilik darjah itu, ibarat kolej yang serba lengkap dan istimewa yang boleh mengeluarkan produk cemerlang yang dapat memenuhi kehendak pelanggan. Sekolah ini boleh jadi pemangkin kepada keperluan anjakan pradigma kebanyakan masyarakat dan warga kilang sekitarnya ke arah kecemerlangan, mementingkan kebersihan dan keharmonian kekeluargaan. Semoga, rutin perjalanan pergi-balik ke sekolah tidak dilambai dengan longgokan dan taburan sampah sarap di tepi jalan, Kehadiran setiap pagi di sekolah, tidak disambut dengan pasu pecah, taburan sampah dan kesan tapak-tapak kaki di dinding-dinding. Pengurusan dan pentadbiran sekolah boleh berjalan dengan cekap dan lancar dengan masalah disiplin sifar, tiada kecacatan prasarana dan kepincangan pengurusan personel. Tiada kes pergaduhan, perbalahan antara kaum, kecurian, ponteng, kerosakan bangunan dan kemudahan dilaporkan. Sekolah ini, sekolah harapan. Ruang dan peluang untuk menuju jaya, gelanggang untuk memburu juara, pentas untuk mengejar cita-cita, jambatan untuk cemerlang kerjaya. Begitulah harapan pengetua yang baru melapor diri di sekolah itu. Semua pelajar dan warga sekolah diharapkan agar dapat menjadikan sekolah mereka satu institusi pendidikan yang kondusif. Harapan beliau lagi, agar anak-anak didik menjadi insan bestari, luhur budi pekerti, unggul jati diri, mulia sahsiah diri, tinggi adap sopan dan teguh pegangan agama. Begitu mudah, jika impian itu sesungguhnya menjadi realiti?.

Analisa persekitaran dalaman dan luaran di sekolah pinggir bandar yang didominasi oleh kebanyakan ‘keluarga yang sakit’ ini, boleh menyebabkan harapan menggunung, tersembam melatari lurah yang saujana dalam. Harapan tinggal harapan, cita-cita terkulai di lubuk sanubari jika harapan tanpa tindakan strategik, tanpa sokongan rakan sekerja, tanpa bantuan ibu bapa dan komuniti setempat. Tuntutan melaksanakan tanggung jawab sosial, mengajak ke arah perkara yang baik, mencegah apa yang mungkar serta azam dan rasa pertanggungjawaban untuk memperbaiki dan penambahbaikan ‘keluarga yang sakit ini’ membuggar rasa bersemangat untuk bersama merealisasikan inovasi ke arah sekolah cemerlang. Tidak boleh pasrah. ‘Lonjakan Saujana Tindakan’ perlu dilaksanakan bagi menghadapi segala masalah dan cabaran. Doa, mengiringi amalan. Pecutan menuju jaya, semoga berjaya!.

Atasi Halangan – Memenuhi Keperluan :

Sekolah pasang siap yang kelihatan indah itu, sebenarnya telah melalui kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan semula yang melibatkan kos yang tinggi. Tempoh tuntutan kecacatan selama setahun yang diberikan oleh kontraktor tidak mencukupi untuk melapor dan memberbaiki segala kecacatan dan masalah fizikal yang dialami. Masalah muncul sedikit demi sedikit dan dari semasa ke semasa. Bermula dengan baik pulih sistem perparitan dan pembentungan bertakung air yang menjadi pembiakan nyamuk aedes, pembaikan kabel bekalan elektrik bawah tanah yang tidak berfungsi, membaiki semula saluran bekalan paip air bawah tanah di bawah dataran kejat dan dinding konkrit yang sering pecah dan ranah, sehinggalah kepada masalah sistem saliran longkang takungan dan longkang bertingkat yang tersumbat. Sokongan pegawai JKR dan Pegawai Kesihatan Daerah dan Pejabat Pelajaran Daerah dan Negeri, sebahagian sistem longkang dan perparitan yang tidak berfungsi kerana dibina tidak mengikut speksifikasi kualiti dan topografi setempat, diusahakan pembinaan semula oleh kontraktor baik pulih di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. Sistem kumbahan dan retikulasi paip air automatik, memerlukan senggaraan dan penyelanggaraan am bulanan yang berhubung kait dengan ‘sewage pump’, tangki penyaman, tangki pengudaraan, tangki pemendapan, tangki peyimpanan lumpur najis, dan penyelenggaraan peralatan mekanikal dan elektrikal. Pengalaman berurus selenggara dengan ‘plumber’ yang dipanggil untuk kerja baik pulih sistem automatik kumbahan tersebut, melibatkan kos yang tinggi dan penipuan berlaku kerana di sekolah tiada pegawai teknikal yang boleh memantau kerja-kerja tersebut. Peruntukan baik pulih dan penyelenggaran daripada jabatan sukar diperolehi kerana kekurangan peruntukan. Penyelesaian dicari dengan menghubungi dan menandatangani perjanjian menyenggara sistem Rawatan Air Kumbahan dengan kontraktor pembekal. Walaupun peruntukan LPBT digunakan untuk memeterai perjanjian ini, namun hasilnya memuaskan. Perancangan kewangan sekolah yang sistematik dan mencakupi semua aspek amat perlu dirangka dan disediakan agar pengurusan kewangan sekolah tanpa kecacatan. Anugerah ‘ Sijil Tanpa Teguran’ pengurusan kewangan sekolah setiap tahun oleh Bahagian Audit Sekolah, Kementerian Pelajaran adalah sesuatu yang membanggakan.
Bebanan bayaran elektrik pada tahun pertama dan kedua sekolah beroperasi ada ceritanya pula. Pejabat, Bilik Guru, Perpustakaan, Bilik Seminar, Bilik Mesyuarat dan Bilik-Bilik Khas yang lain dilengkapi dengan alat penyaman udara, Pelik!, penggunaan elektrik berhemah untuk mengurangkan bayaran bil, tidak boleh diguna pakai?. ‘Surcharge’ bayaran elektrik setiap bulan sebanyak RM200.00 sehingga RM 350.00 dikenakan kerana penggunaan elektrik kurang daripada sepatutnya. Bank Kapisitor dengan kos puluhan ribu ringgit terpaksa diusaha dan dibina untuk mengatasi masalah ‘surcharge’ itu. Sebelum itu tunggakan bayaran elektrik kira-kira RM 18,000.00 terpaksa dibantu bayar oleh Jabatan Pendidikan Negeri untuk melangsaikannya. Jubin di Bilik Persediaan Diri kelas Kemahiran Hidup yang tiba-tiba meletup dan menggegarkan semasa jamuan sarapan bersama pegawai-pegawai PPD Negeri Selangor dan pegawai-pegawai lain sempena Pertandingan Pendidikan Lalu Lintas – MKJR/Shell bulan September tahun 2003, masih belum dibaiki. Begitu juga saluran paip air dalam dinding Bilik Kemahiran Hidup (ERT) yang pecah masih menunggu untuk dibaiki. Semoga peruntukan baik pulih yang dijanjikan oleh Jabatan segera diperolehi.
Masalah ketidakcukupan kerusi murid begitu ketara setiap hari, Bekalan kerusi kayu tanpa paku yang tidak tahan untuk digunaduduk oleh murid-murid yang besar dan lasak, terpaksa diganti dengan kerusi plastik yang dibeli dengan ehsan wang sekolah dan PIBG. Kerja baik-pulih kerusi kayu oleh ‘Repair Teem’ bersama guru penasihatnya, banyak membantu. Inventori kerusi meja bagi setiap murid dan kelas dikunci dapat mengurangkan masalah kerusi rosak dan dicuri. Setiap murid bertanggungjawab menjaga keselamatan harta yang diamanahkan.
Terus Mara – Memburu Juara

Sekolah Menengah Gred B yang mempunyai murid-murid melebihi 2,000 orang dengan 72 buah kelas pagi dan petang itu begitu sesak, tiada padang permainan, tiada dewan untuk kegiatan kokurikulum. Susun atur enam blok bangunan tiga dan empat tingkat berbentuk empat segi, di atas kawasan seluas kira-kira 09.48 ekar itu, membataskan penyediaan padang permainan, dan ruang untuk bersukan dan beriadah. Kawasan lapang antara bangunan kurang sesuai dijadikan gelanggang permainan dan kegiatan kokurikulum semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Bagaimanakah pendidikan seimbang khususnya dalam perkembangan jasmani dan psykomoto murid-murid dapat dilaksananakan?. Mengadakan kegiatan di hujung minggu, membataskan kehadiran murid, kerana tiada pengangkutan awam dan kesulitan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah. Sukantara dan permainan yang menggunakan seluruh ruang di sekeliling sekolah, sukan tahunan dengan menggunakan puluhan bas untuk mengangkut warga sekolah ke stadium berdekatan yang di sewa, aktiviti kokurikulum persatuan dan kelab yang dimuatkan dalam jadual waktu dua minggu sekali, berselang seli dengan perhimpunan rasmi sekolah dapat mengisi pelaksanaan aktiviti kokurikulum dengan berkesan. Kehadiran murid dalam aktiviti kokurikulum tidak menimbulkan masalah. Olahraga, merentas desa, permainan dan aktiviti kokurikulum di peringkat zon dan daerah ditandingi. Kekangan ruang dan gelanggang tidak membataskan semangat jaguh-jaguh sekolah itu untuk terus mara, memburu juara!. Syabas!, memang ada tempat dalam kumpulan teratas dalam beberapa pertandingan yang disertai. Syabas kepada pasukan Kadet Remaja Sekolah menjadi juara Negeri selangor dalam Pertandingan Kawad Kaki.
Anak-anak remaja yang sedang membesar memerlukan ruang untuk mereka bermain dan beriadah. Persekitaran kawasan perumahan yang sempit dan tiada kemudahan padang permainan meruntun anak-anak ini untuk menggunakan kekuatan fizikal mereka di mana sahaja ada ruang dan peluang. Bawa bola ke sekolah, disepak dengan kongkongan tenaga untuk memastikan bola tidak terkena cermin tingkap dan sasaran yang boleh menyebabkan didenda. Kisah lalu telah direkodkan berkurang dengan jumpa dinding boleh ditumbuk; selisih bahu boleh bersepak terajang; hamburan kata tidak menyenangkan boleh bergaduh. Masuk bilik air tertutup, boleh disepak dan diterajang – pecah dan ranap. Bawa kayu dan batu, tumbuk sinki, tarik pum semburan air kuat-kuat sehingga tercabut dan pecah!. Tak dapat sepak bola, sepak kaki kawan – bertumbuk lagi!. Itulah kerenah sebahagian kecil anak-anak remaja lelaki yang sedang membesar dan tiada kawalan disiplin di rumah yang berupaya dikurangkan dengan nasihat dan tunjuk ajar para guru Segelintir lagi yang masih mempunyai karenah negatif inilah yang membawa masalah dan menyusahkan orang lain, perlu difikirkan untuk. Semoga program ‘Kaulah Permata Hati’ dapat mengubah sikap pelajar-pelajar yang bersikap ‘pemusnah’ ini. Begitu juga penubuhan Pasukan Kadet Polis di sekolah, agar dapat mendidik anak-anak ini menjalankan tugas kepolisan bagi membantu sekolah menangani maslah segelintir pelajar yang tidak berdisplin dan beretika. Bantuan kewangan PIBG, individi dan institusi perihtin, amat diharapkan bagi membantu pihak sekolah mengadakan program-program yang berkaitan membina jati para pelajar ini.

Insan Berkualiti - Warga Bestari

Sekolah Projek, Sekolah Kawalan, Sekolah Harapan Negara dicemburui. Kepimpinan dan pengurusan sekolah berkesan dan berkualiti, menjadi inspirasi. Faktor persekitaran yang menjadi pemangkin ke arah anugerah itu, mungkin tidak boleh dijadikan sempadan. Persekitaran setempat, sekolah sumber, lokasi strategik, komuniti, dan kejiranan sememangnya berbeza antara satu sekolah dengan sekolah yang lain. Sejauhmana kita dapat menggunakan segala kekuatan bagi mengatasi kelemahan, sejauhmanan kita dapat menafaatkan segala peluang bagi mengatasi segala kekangan, bergantung kepada kebijaksanaan serta keupayaan kita mengurus dan mentadbir sesuatu organisasi. Bertitik tolak daripada hakikat kesedaran pernyataan di ataslah, menjadi penandaaras untuk langkah bermula!.

Strategi peningkatan prestasi akademik dirangka dan dipraktikkan. Perancangan berfokus dititikberatkan. Unjuran tahunan, membina pengkalan data ujian/peperiksaan, analisis perbandingan, pemantauan dan tindakan susulan menjadi agenda utama perancangan kurikulum sekolah. Jawatankuasa Kurikulum dan Panitia Mata Pelajaran menjadi tulang belakang. Kelas tambahan di luar bilik darjah, kelas hujung minggu pada hari Sabtu bukan agenda utama. Kehadiran tidak memuaskan. Tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran berkualiti dalam jadual waktu adalah tunjangnya. Semua warga sekolah mesti menepati masa dan menggunakan masa berkualiti. Semua guru mesti tahu mengajar cara berkesan, murid pula mesti tahu cara belajar berkesan. Tanda sayang, tanda kasih, titipan kerja masa cuti diberi dan mesti dibereskan. Setimbun buku latihan setiap murid di tingkatan peperiksaan, khususnya bagi mata pelajaran Bahasa dan Mata Pelajaran Teras disemak oleh pengetua, dan personel yang diberi kuasa. Penambahbaikan dan peningkatan prestasi akademik dan prestasi kerja digulakan dengan hadiah dan pengiktirafan. Sekadar setulus ungkapan penghargaan dan seuntai kecil cenderahati, sudah memadai untuk melonjakkan keyakinan dan nilai diri serta penghormatan kendiri murid-murid. Peningkatan prestasi PMR sebayak 11.5 peratus tahun 2003 sudah tentu membanggakan. SPM tahun 2004 baru bermula, tiada perbandingan boleh diukur. Yang pasti, unjuran peningkatan prestasi dari segi kualiti ( Gred Purata ) SPM dan PMR yang terus meningkat akan cuba direalisasikan. Untuk murid-murid - “Kejayaanmu adalah kebanggaan kami’ ungkapan yang sudah memadai sebagai hadiah Hari Guru kepada guru-gurumu yang dedikasi, sabar dan komited dalam membimbing anak-anak didik. Kepada guru-guru pula ditekankan, bahawa kita adalah jurutera insan, bukan sahaja untuk melahirkan generasi yang bijak tetapi melahirkan insan yang bijaksana. Membuggar rasa keinsafan, meruntun pertanggugjawaban atas amanah dan ‘Aku Janji’ sebagai kaki tangan awam di samping hak diri dan peribadi tidak diabaikan, InsaAllah akan mencerna sinar kecemerlangan rumah tangga dan kerjaya. Merealisasikan Pendidikan Malaysia bertaraf Dunia bermula dari guru. Guru sebagai ‘role model’, perlu banyak membaca dan belajar , sentiasa memperlengkapkan diri seiring dengan kemajuan sains dan teknologi globalisasi. Langkah perlu seribu , anjakan perlu berbatu, kerjasama perlu bersepadu, serasi, seiring dan sejalan untuk mengejar dan menggapai wawasan sekolah dan negara.
Disiplin diri, disiplin belajar, disiplin dalam kelas, mengamalkan budaya ilmu dan mempraktikkan budaya sekolah yang telah disebarluaskan asas kepada kecemerlangan kurikulum dan, kokurikulum. Semua guru dan staf memainkan peranan masing-masing bagi memastikan disiplin dan peraturan sekolah dipatuhi. Semua guru adalah guru disiplin. Prosedur Kerja dan senarai tugas perlu dipatuhi. Setiap guru dan staf menyediakan Sasaran Kerja masing-masing. Sasaran Kerja Tahunan menepati sasaran atau tersasar merupakan intipati utama penentu kepada Senarai Penerima Anugerah Khidmat Cemerlang setiap tahun.

Insan Berbudi – Menjana Jati Diri

Ungkapan ‘masyarakat sakit’ menjadi kontrovesi apabila ungkapan itu diluahkan oleh pengetua dalam Perjumpaan Permuafakatan dan Pelancaran Program Sekolah Selamat kali pertama. Pertemuan dan perbincangan antara pihak sekolah, PIBG, Ketua-Ketua Taman Perumahan, komuniti setempat, Pegawai Perhubungan Polis, Pertubuhan-pertubuhan berkaitan menjanjikan kerjasama bersepadu bagi membantu masalah yang dibangkitkan. Penerokaan dalaman kendiri murid yang mengikuti program lawatan sambil belajar, penyertaan bersama antara pengetua, penolong-penolong kanan dan guru-guru dalam program-program perkhemahan membuka segala rahsia anak-anak remaja. Jiwa dibelai, kasih diberi: luahan rasa dapat diterokai, terbongkar misteri kesilapan yang terbuku di sanubari mereka. Dapatan sungguh mengejutkan. Boleh dikatakan sebahagian besar mereka yang di ketegorikan pelajar “berisiko” terlibat dengan ‘salah laku seks’. Tempat tinggal di kawasan pinggir bandar, kedua ibu bapa bekerja, masalah keruntuhan rumah tangga dan desakan jiwa remaja yang ingin mencuba serta pegangan agama yang rapuh menjadi penyebab kepada masalah sosial dan keruntuhan moral. Tiada benteng dan jati diri, tiada penghalang dan penegur untuk mencegah mereka daripada melakukan pekerjaan mungkar. Cyber café, sebaran CD lucah, tayangan keganasan dan seks di layar TV dan monitor kumputer, semuanya merangsang kegiatan maksiat ini berlaku.

Sekolah diharapkan agar mengambil alih tugas ibu bapa mendidik anak-anak mereka. Apa upaya sekolah atau ibu-guru atau bapa-guru sebagai ‘in loco parentis’ untuk membantu menangani masalah keruntuhan akhlak anak bangsa?. Memang berlaku kes anak lari dari rumah, ditangkap mencuri, berkhalwat, bersekedudukan, dan dihantar ke sekolah pemulihan akhlak. Walaupun peratusnya amat kecil, ia merupakan bibit-bibit yang boleh menjadi kes yang lebih besar jika tidak ada usaha oleh semua pihak untuk menanganinya..
Program Pembangunan Insan yang disusun di sekolah itu, diharapkan dapat membantu murid-murid mengubah sikap. Dapat mengetuk pintu hati mereka supaya menyedari bahawa langkah mereka mesti teratur dan terjurus, terutama untuk mengharungi jalan berliku yang masih jauh dan belum selesai. Penjadualan program pengisian rohani dengan bacaan Al Quraan dan tazkirah, penerapan nilai-nilai murni setiap pagi Jumaat dalam jadual waktu persekolahan sedikit sebanyak dapat mengisi program penyucian jiwa ke arah yang lebih tulus dan luhur, ke arah destinasi hidup dan kerjaya yang lebih terpimpin dan terarah. Program lawatan dan perkhemahan yang diatur untuk mereka yang agak luhur amalan ibadah, diatur oleh pihak sekolah dengan kerjasama dan bantuan Pusat Zakat Negeri dan simpati pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Program Mentor-mentee khas untuk pelajar ponteng dan bermasalah sekurang-kurangnya dapat diberi sedikit belaian untuk mereka merasa dihargai Mendorong dan memberi motivasi kepada mereka untuk membantu dan memajukan diri. Program Integrasi diatur setiap bulan, pengisian aktiviti berkaitan silang budaya, program motivasi , perkhemahan dan kepimpinan adalah aktiviti rutin yang dilakasanakan berterusan mengikut Takwim Sekolah. Guru Cemerlang dan Panitia Pendidikan Moral menyelaras program penerapan nilai-nilai murni dan integrasi. Panitia Pendidikan Islam, mengatur dan melaksanakan program-program yang berkaitan dengan pemantapan rohani. Unit Disiplin sepanjang masa melaksanakan gerak kerja membantu merealisasikan wawasan sekolah ‘ Menjadi Warga Sekolah Yang Berdisiplin, Beretika dan Berketrampilan.

Berat Sama Dipikul – Ringan Sama Dijinjing.

Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat pepatah yang membawa erti sama, yang maksudnya boleh digunapakai dalam membentuk kerja sepasukan dalam sesebuah organisasi. Sekolah yang mempunyai kaki tangan seramai 130 orang itu, merupakan kekuatan. Tenaga, kepakaran, masa serta keihlasan mereka merupakan daya dan upaya yang boleh digembeling untuk menuju sekolah terbaik. Program Kejelekitan Staf dengan pelbagai aktiviti merapatkan hubungan silaturrahim. Ungkapan pengiktirafan, sijil dan cenderahati penghargaan mengikat hati dan perasaan setiap staf untuk bekerja dalam satu barisan. Bilangan pengiktirafan Sijil Emas Anugerah Kualiti Pendidikan Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat yang bertambah setiap tahun menjadi kebanggan warga sekolah. Persediaan lebih rapi dan terancang perlu dilaksanakan untuk meraih gelaran yang lebih banyak pada tahun - tahun akan datang. Menjual sekolah dengan maraih gelaran juara dalam banyak pertandingan yang dijalankan perlu diambil peluang. Kita akan terus beruasaha untuk memperbaiki segala yang kurang dan terus memperbaiki apa yang telah sedia baik. Sasaran untuk menjadi sekolah cemerlang pada tahun 2010 insya –Allah akan tercapai jika usaha ke arah itu dilaksanakan.
Kejayaan mengumpul dana PIBG dalam Majlis Jamuan Amal Jaya, pada tahun 2003, projek ‘Ceriathon Jaya’ pada tahun 2004, Program “Surauthon Jaya” pada tahun 2005 menyumbang dana untuk membeli komputer, buku-buku perpustakaan, menyediakan pondok-pondok ilmu, membina Taman Sumber Sains dan membina tempat menunggu untuk murid-murid di sepanjang laluan berbumbung. Dana sebanyak RM 340,000.00 berjaya dikumpulkan dalam Program “Surauthon Jaya” dengan tersegamnya sebuah surau di hadapan sekolah pada tahun 2006. Pengetua mengajak semua warga sekolah bersama PIBG berbakti beramaljariah dengan melabur saham abadi. Semoga mendapat ganjaran setimpal di dunia dan di akhirat , Insya -Allah.
Begitulah segelumit catatan dalam diari seorang pengetua yang perlu serba boleh dan proaktif dalam mengurus dan pentadbir sesebuah sekolah. Dalam benaknya sentiasa tertekan untuk berfikir dan menyusun strategi bagi mencari penyelesaian pelbagai masalah. Rakan sokongan untuk berbincang dan menyalurkan luahan rasa amat perlu, agar tekanan mental dan emosi dapat dikendurkan. Sandaran kepada Allah SWT setiap detik dan ketika menjadikan hamba Allah yang kerdil ini terus bertenaga, beriltizam dan bersyukur atas anugerah usia, kesihatan yang baik dan atas segala nikmat yang tidak terhingga untuk dicatatkan. ‘Sepanjang penghidupan itu adalah perjuangan, Fitrah perjuangan dipenuhi cubaan dan dugaan. Natijah atau hasilnya sama ada kecundang atau kejayaan adalah ruang untuk kita terus bersyukur dan muhasabah diri’. Semoga kita menjadi hamba dan khalifah Allah yang sejati!!.

Catatan ini merupakan salah satu pengiktirafan kendiri yang dapat melegakan tekanan dan mengharmonikan perasaan. Semoga perjuangan untuk memertabatkan SMK Cheras Jaya menjadi sekolah cemerlang dapat dilaksanakan dan diteruskan sehingga ke noktah persaraan. Sudah pasti ada kesinambungannya nanti oleh pengganti yang pasti datang. Segala yang baik itu hanya dari Allah SWT dan segala kelemahan dan kekurangan itu adalah dari saya. Maafkan saya atas segala-galanya.



Catatan memori Pn Sharifah Salmiyah Syed Agil.

Dimuatkan dalam Majallah USTEJA(Sempena Persaraan)
untuk tatapan warga SMK Cheras Jaya dan diari diri


S(S+A)/2004 & edit 2007

No comments: