Wednesday, April 22, 2009
ANATOLIA yang indah JATUH
SEMUA INSAN diwajibkan sembahyang, iaitu ruku' dan sujud kepada Allah. Raja dan pemimpin yang ruku' dan sujud kepada Tuhan sepatutnya sedar bahawa ada kuasa yang lebih tinggi daripadanya. Tetapi raja-raja Islam di akhir zaman keagungan Islam Turki tidak sedikitpun rasa rendah diri kepada Tuhan yang disembah. Mereka tidak segan-segan menindas dan berlaku zalim. Mereka juga asyik dengan keseronokan yang tidak terhad. Ada sahaja `ulama' yang sanggup menghalalkan apa sahaja yang diminati oleh raja. Dengan itu, raja menyimpan beratus-ratus gundik, membunuh semua adik-adik mereka apabila mereka menaiki takhta untuk mengelak daripada percubaan merebut takhta. Bangsa sendiri tidak diberikan kepercayaan untuk menganggotai tentera. Sebaliknya orang asing diambil sebagai askar upahan. Tidak hairanlah apabila kemudian askar upahan ini merebut kuasa dan mendirikan pemerintahan mereka sendiri.
Sebagai contoh, permulaan keruntuhan Empayar Turki ialah kegagalan menawan bandaraya Vienna di Austria pada tahun 1683. Tentera Turki di bawah Kara Mustafa, panglima tertinggi Turki mendirikan khemah tentera di luar Vienna. Khemah Kara Mustafa mewah seperti istana raja, lengkap dengan permaidani tebal, langsir sutera, perhiasan-perhiasan lain, tukang masak yang terbaik dari Istanbul dan "seraglio" untuk gundik-gundiknya. Peperangan tidak penting. Yang penting ialah kehidupan yang selesa walaupun semasa perang.
Tentera Turki telah dikalahkan. Kara Mustafa membunuh semua pegawai tingginya untuk menghalang berita kegagalannya sampai ke pengetahuan Sultan. Tetapi Sultan mendapat maklumat juga dan mengarahkan supaya Kara Mustafa dibunuh.
Dengan kegagalan menawan Vienna pada tahun 1683, maka bermulalah proses kemerosotan Empayar Othmaniah, Empayar Islam yang terakhir. Sejak itu Empayar Islam tidak dapat dipulihkan lagi. Sebaliknya sehingga ke hari ini umat Islam ditindas dengan sewenang-wenangnya.
Kegagalan orang Islam ialah kerana tidak menjadikan Islam sebagai ad-din atau cara hidup. Segala nilai yang mulia yang terdapat dalam ajaran Islam diketepikan. Ibadat diasingkan daripada cara hidup.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment