Wednesday, April 8, 2009

Barang-barang jualan TOKtan - menggiurkanku

Begitu jauh toktan berjaja, mudek ke hulu puluhan/ratusan batu, ke kawasan hutan belantara Tahan yang hijau dan padat. Bagaimana beliau ke sana tak diketahui. Penduduk di sana tak seramai mana, pelanggannya pula, sudah pasti boleh dibilang dengan jari. Yang diketahui, barang-barang tembaga menjadi pilihan utama pelanggan di sana. Kain-kain batik yang dibawanya kurang sambutan. Namun begitu ku masih ingat dengan jelas, sehelai kain batik lepas yang berwarna biru turqois dengan bunga-bunga berwarna-warni di kaki kain yang aku sangat meminati, mungkin juga laris dijual.Sehingga sekarang, aku berputih mata untuk memilikinya, nak beli dengan apa?...itu milik toktan. Berulangkali aku membelek-belek kain batik lepas buatan tangan itu kerana amat menyukainya, kemudian melipat semula bila toktan datang. Kain-kain batik sarung yang lain juga, menjadi mangsaku, aku suka mengirainya untuk melihat bunga-bungaan dan awan larat yang ditekap berlapis-lapis pada kain tersebut. Yang kelakarnya, aku tak pernah dapat melipatnya semula seperti lipatan asal.Toktan tak pernah marah dan tak pernah bersuarapun kepada cucunya yang kurus tinggi yang selalu mengirai-ngirai kain jualannya itu. Para pelanggan dan jiran yang datang ke rumah untuk melihat barang-barang jualan toktan yang menjadi mangsa, membantu melipat semula kain-kain itu seperti lipatan asal.

Barang-barang tembaga, seperti bekas air, tepak sirih, gobek, seterika, pahar dan keris adalah antara barangan tembaga bahan niaga toktan. Bergemelapan warna emas barang-barang tembaga toktan, amat cantik dan menarik sekali. Dalam hati, kalaulah barang-barang itu menjadi miliku, tentu megah sekali.Namun, nak buat apa?, nak simpan di mana? dan nak beli dengan apa. Sesekali membelek-belek barang-barang tersebut, apabila ada tetamu atau pelanggan datang ke rumah, sudah memberi kepuasan kepadaku.

No comments: